Wednesday, May 18, 2005

Hadiah Untuk Guru...

Petikan berita yang menyayat hati...bagaimana perasaan ibu melihat anak kesayangannya digilis lori di depan matanya sendiri. Semalam terbaca cerita tersebut di Utusan Online. Malam tadi tenguk berita di TV3 menceritakan peristiwa tersebut. Sedih bile mengenangkan peristiwa tersebut.

Siapa nak disalahkan? Wakil Rakyat? Shapadu? Penghulu? PM? Pemandu Lori? Ibu? Anak?

Kalau nak diceritakan banyak kematian di jalan raya yang ngeri melibatkan Lori. Dalam perjalanan pergi dan balik kerja pernah beberapa kali melihat kemalangan dihadapan mata saya sendiri dimana lori merempoh pejalan kaki. Kawan baik saya sendiri mati satu keluarga, juga kemalangan dengan Lori. Pemandu Lori yang bawa lori dalam keadaan merbahaya tak usah cerita lah..... Saya boleh senaraikan no plat lori tersebut. Tetapi ada jugak yang saya send sms laporan ke sistem DAPAT atau LPKP. Setakat mana diambil tindakan tersebut...entah lah!

Bersama ini petikan akhbar Utusan Malaysia 18.05.2005 berkenaan peristiwa yang menyayat hati tersebut..

Nur Salina lebih manja sebelum maut digilis treler

KLANG 17 Mei - Nur Salina Saparedi, 7, yang maut digilis treler ketika dalam perjalanan ke sekolah bersama kerongsang untuk ustazahnya sempena Hari Guru semalam dikatakan rajin mengemas dan membasuh pinggan sebelum kemalangan ngeri itu.

Ibunya, Arliza Mohd. Sani, 37, berkata, pada masa yang sama anak sulungnya itu kelihatan sungguh manja apabila sering menciumnya dan ahli keluarga yang lain.

Bagaimanapun katanya, semua ahli keluarganya tidak menyangka perubahan kelakuan Nur Salina dalam tempoh dua tiga hari itu akan berakhir dengan begitu tragis.

``Saya juga masih ingat, sebelum ini dia pernah meminta duit RM1 untuk membeli sekuntum bunga di sekolah khas buat saya sempena Hari Ibu yang lalu.

``Tetapi saya tidak mahu dia belikan saya bunga kerana bagi saya memadailah jika dia memberi saya ciuman di pipi sempena Hari Ibu,'' katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di Jalan Yadi, Kampung Rantau Panjang di sini hari ini.

Dalam kemalangan maut di Lebuh Raya Selat Klang Utara semalam, Nur Salina digilis oleh treler di depan Sekolah Rendah Agama Rantau Panjang di depan mata Arliza sendiri.

Nur Salina yang begitu bersemangat dan riang untuk ke sekolah dengan hadiah kerongsang itu juga tidak mahu melintas jalan bersama ibunya sebaliknya mahu berjalan bersama rakan-rakan yang lain.

Sementara itu, bapa Nur Salina, Saparedi Wahid, 52, berkata, anak perempuannya itu pada mulanya mahu membeli dua kain tudung sebagai hadiah kepada dua gurunya.

Bagaimanapun katanya, kain tudung agak mahal dan dia memujuk Nur Salina supaya membeli kerongsang tudung sahaja.

``Harga satu kerongsang ini hanya RM2 sahaja, satu warna hijau untuk Ustazah Hanizah dan satu lagi warna biru untuk Cikgu Ida Rosyatina, kedua-dua kerongsang ini mempunyai bentuk yang sama.

``Apabila tiba masa untuk saya memulangkan buku teks sekolah nanti saya akan beri kerongsang kepada cikgu-cikgu Nur Salina kerana ini memang sudah niat dia untuk beri hadiah, jadi saya kena tunaikan juga,'' katanya.

Katanya, kerongsang untuk Ustazah Hanizah kini disimpan oleh rakan sepejabatnya kerana dia sungguh pilu dan tidak sanggup untuk melihat kerongsang berkenaan.


Membaca peristiwa tersebut, menyebabkan saya menangis ...............

0 Comments:

Post a Comment

<< Home