Monday, September 12, 2005

Cium Tangan

Cium tangan bertentangan hukum Islam - Raja Abdullah

RIYADH 11 Sept. - Pemerintah Arab Saudi yang baru, Raja Abdullah mengeluarkan arahan supaya rakyatnya tidak mencium tangan baginda apabila bersalam.

Baginda menjelaskan, perbuatan mencium tangan merupakan satu amalan yang bertentangan dengan hukum Islam dan merendahkan martabat seseorang.

``Mencium tangan seseorang adalah satu perbuatan asing dalam nilai-nilai moral kita dan ia tidak boleh diterima.

``Dengan mencium, ia juga bererti anda tunduk kepada individu berkenaan yakni telah melanggar peraturan yang ditetapkan oleh Allah. Manusia tidak tunduk kepada sesiapa melainkan Tuhan,'' titahnya.

Baginda bertitah demikian kepada sekumpulan delegasi dari Al-Baha yang mengunjunginya di Istana Diraja bagi mengucapkan tahniah di atas pelantikannya sebagai Raja Arab Saudi yang baru.

Abdullah menjadi raja negara itu pada 1 Ogos lalu ekoran kemangkatan Raja Fahd.

Sehubungan itu, Abdullah yang terkenal dengan sifat beliau menekankan kesopanan keluarga menegaskan, hanya bapa atau ibu sahaja yang layak menerima ciuman tersebut.

``Saya mengumumkan penolakan menyeluruh dalam hal ini dan saya meminta setiap orang supaya elak daripada mencium tangan sesiapa pun melainkan ibu bapa mereka,'' titah baginda. - Reuters

Petikan: Utusan Malaysia 12 September 2005

0 Comments:

Post a Comment

<< Home