Thursday, May 19, 2005

Isu Al-Quran Dihina. Dimana kita?

Baca Harakah daily...bukan maknanya saya orang PAS. Sebab saya tak mempercayai sistem Demokrasi. Cuma nak dapat pandangan dari pemimpin PAS.

Al-Quran ke mangkuk tandas, Hadhari apa?-Oleh Nik Abdul Aziz Nik Mat
Tuesday, May 17 @ 18:56:23 MYT


MAKA, berkatalah Perdana Menteri Islam Hadhari setelah mendengar kejadian tentang tuduhan warden penjara di Guatanamo memasukkan Al-Quran ke dalam mangkuk tandas dan dipam. Walaupun ia sedih, “tapi apa yang kita hendak lakukan.” (Mingguan Malaysia 15 Mei 2005).

Melihatkan komen Perdana Menteri daripada Umno ini, jelaslah yang pemimpin kita ‘kering dakwat’ dalam serba serbi. Kering pemikiran. Kering iman. Kering suara. Kering kepekaan, malah hilang langsung deria rasa biarpun Al-Quran sendiri dihina sebegitu rupa di penjara Guantanamo Bay, Cuba.

Sepatutnya selaku negara pelopor dalam Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) dan OIC, tunjukkanlah sikit mutu kepemimpinan kita yang kononnya sudah mencecah taraf dunia itu. Kata, Islam Hadhari kini sudah tersangat popular hinggakan ramai pemimpin dunia mahu belajar dengan kita!

Setelah mendengar pendirian Perdana Menteri yang langsung tidak sensitif (setakat ini) dalam isu ini, maka tahulah rakyat bahawa Islam dari klon hadhari ini cuma “Islam jenis cakap saja.”.

Mari kita bandingkan dengan sikap pemimpin-pemimpin negara umat Islam yang lain yang tidak pun hadhari. Mereka mengeluarkan kenyataan rasmi, membuat bantahan aman dan mendesak keras agar kerajaan AS melakukan siasatan rapi dan mengemukakan penjelasan sebenar.

Kemudian, kita dapat saksikan pula bagaimana tergesa-gesanya Setiausaha Negara Amerika, Condoleezza Rice terpaksa membuat kenyataan yang mereka tidak pernah sekali-kali bertindak menghina Al-Quran disamping akan menjalankan siasatan rapi serta merta bagi menyatakan kejadian yang sebenar.

Soal AS yang suka berdolak dalik adalah satu hal; tetapi sikap pemimpin Islam walau dari klon mana sekali pun perlu jelas. Saya kadang kala menjadi cukup tidak faham. “Cemerlang? Gemilang? Terbilang?.”

Cemerlanglah itu agaknya apabila “a senior police officer allegedly made an asset declaration amounting to RM34 million and no action seen to be taken”. (NST muka depan 17 Mei 2005).

Gemilanglah itu agaknya apabila adik Ahmad Hafizal dijel dan didenda kerana gagal menjalani PLKN sedangkan beliau pada masa yang sama sedang tekun meraih rezeki untuk membantu emaknya (seorang balu) dengan dua tiga adik-adiknya yang tidak cukup makan.

Terbilanglah itu agaknya apabila Ratu Dangdut tergamak dibenarkan menggerudi ‘papan iman’ remaja kita di Stadium Merdeka atas undangan pemimpin Umno/BN.

Kenyataan yang berbunyi “tidak ada apa yang boleh dilakukan” sesungguhnya cukup naïf dan sangat menampakkan ketandusan. Bukankah kita ada Wakil Tetap di PBB. Kita Pengerusi OIC. Kita orang kuat NAM. Kita ada Wisma Putra dan kita tahu di mana letaknya Pejabat Kedutaan Amerika di Malaysia.

Langkah-langkah Civil yang membayangkan sikap tamadun beraurakan hadhari boleh diatur dengan waras dalam rangka bantahan beradab ke atas amalan biadap yang non-hadhari di Guantanamo itu.

Bertindaklah dengan tegas berasaskan protokol mengikut saluran-saluran diplomatik antarabangsa yang dipiawaikan. Ini bukan masalah. Entahlah. Kita nampaknya semakin sehari semakin kalut. Dalam tahun ini sahaja kita saksikan kes JAWI vs Jeslina Hashim.

Kita ada kes tuntutan Sister’s In Islam dengan 50 NGO dan anak Perdana Menteri serta anak bekas Perdana Menteri termasuk beberapa Menteri sendiri yang menyokong penubuhan IFC, walaupun kemudiannya ditangguhkan (ingat, tidak dibatalkan).

Kemudiannya, datang pula si Inul dengan “mesin gerudi”nya. Disusuli pun dengan isu diesel yang kekurangan. Rupa-rupanya, bukan setakat diesel tetapi dengan petrol-petrolnya sekali diangkat naik antara 10 sen – 20 sen seliter.

Kemudian, mulalah memberi amaran itu dan ini. 1,000 Pegawai Penguatkuasalah yang memantau kenaikan harga. 14,000 wanitalah (wanita mana ni?) yang nak turut dijadikan sukarela.

Kemudian, kempen beli barang murah di Giant, Tesco, Carrefour dan Mydinlah. Kononnya mahu membendung pesta naik harga. Sebenarnya, perkataan pesta yang digunakan sendiri oleh akhbar-akhbar perdana kita sangat mengesahkan telah berlakunya kenaikan harga barang yang ‘gila-gila’.

Kapitalis yang berpesta. Rakyat yang merana dan pihak berkuasa yang seakan-akan tengok saja. Cukup rajin mengeluarkan kenyataan tetapi akan berakhir dengan pendirian-pendirian tawar yang mungkin sekali lagi berbunyi, “apa yang boleh kita lakukan”? Cuba kita bayangkan jika ayat yang sama diulang apabila kita melawat orang sakit.

Jika dalam insiden orang menghumban Kitab Suci kita ke mangkuk tandas pun kita boleh ambil sikap “apa boleh buat ,” maka demikianlah hakikat adanya kita dalam situasi kepemimpinan semasa di waktu ini.

Memang sahlah yang kita perlukan reformasi mega di segenap peringkat dan keadaan. Itu belum lagi kita semak berita-berita mutakhir terkini. Mari kita beranalisis dengan membuat pembedahan isu berasaskan kes:

i) “Sebahagian penganggur Melayu sukar dapat kerja.” - Berita Harian 17 Mei 2005
(Komen : Janji Umno, jika menang di Kelantan dalam pilihan raya yang lalu, katanya, kerja boleh dilambakkan dengan banyaknya).

ii) “Pertunjukan fesyen baju jarang tanpa coli, hidangan arak jam 8.30 malam dibuat di sebuah pusat membeli belah di ibu kota.” - Berita Harian 17 Mei 2005
(Komen : Mana kempen budi bahasa jika supermarket pun boleh anjur pertunjukan yang anti-moral pada bila-bila masa. Mustahil, permit tidak diperlukan. Siapa pula yang meluluskannya?)

iii) Tegas Perdana Menteri, “usah cepat naik harga barang.” - Berita Minggu 8 Mei 2005
(Komen : Maknanya, boleh naiklah tapi perlahan-lahan?)

iv) Dato’ Shapie Apdal pula berkata, “don’t pass cost to consumers.” - NST 8 Mei 2005
(Komen : Habis, jika tidak dipindahkan kepada pengguna, kepada siapa lagi. Minyak dah naik begitu cepat, takkan tak berlaku inflasi. Ini hukum klasik ekonomi seantero alam. Mustahil tak faham!).

v) “Bekas Ketua Pemuda Umno dan isterinya dari negeri Perak ditahan atas tuduhan rasuah RM6.2 juta.” - Utusan Malaysia 14 Mei 2005
(Komen : Jika sudah pemimpin Umno rasuah, habislah. Itu belum lagi didedah 18 kes berprofil tinggi. Jangan lupa, Rakyat menanti).

Semasa Tun Dr Mahathir ditemubual, beliau mendedahkan satu kekurangan iaitu beliau tidak pandai berenang. Pemimpin Umno yang ada sekarang pula pandai buat apa dan tidak pandai buat apa, tak tahulah. Serba salah rakyat dibuatnya. Dipotong hidung, rosak muka. Diconteng muka rosak maruah. Ya Allah!

Dalam keadaan sebegini, saya meminta orang lain sama turut merenungi Firman Allah yang bermaksud;

“Maka tatkala mereka melupakan apa yang diperingatkan kepada mereka, Kami selamatkan orang-orang yang melarang dari perbuatan jahat dan Kami timpakan kepada orang-orang yang zalim seksaan yang keras disebabkan mereka selalu berbuat fasik.” - (Surah Al-A’raaf: Ayat 165). Wallahu a’lam. - /mj


0 Comments:

Post a Comment

<< Home