Monday, July 03, 2006

1.2 juta penagih dadah?

1.2 juta penduduk Malaysia penagih dadah

Oleh Abdul Muin Sapidin

KEPALA BATAS 2 Julai - Kementerian Keselamatan Dalam Negeri memberi amaran ancaman dadah di negara ini semakin membimbangkan apabila dianggarkan 900,000 hingga 1.2 juta penduduk Malaysia kini menagih dadah.

Malah, perangkaan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) menunjukkan fakta yang amat meresahkan.

Majoriti yang terlibat penyalahgunaan dadah ialah golongan belia atau rakyat berumur 20 hingga 40 tahun.

Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Johari Baharom berkata, fakta itu berdasarkan kajian ke atas lebih 290,000 orang penagih dadah berdaftar yang dicatatkan sehingga Mei lalu di seluruh negara.

Beliau menegaskan, kajian komprehensif Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi justifikasi bahawa bagi setiap satu kes penagih dadah dilaporkan, terdapat sekurang-kurangnya tiga atau empat kes masih tidak dilaporkan.

“Berdasarkan kajian itu, terdapat sekurang-kurangnya 900,000 hingga 1.2 juta penduduk negara ini menagih dadah, adalah jelas ia amat membimbangkan.

“Situasi ini merupakan satu ancaman besar kepada negara sekiranya langkah menanganinya tidak diambil segera,” katanya ketika berucap merasmikan Program Orang Kurang Upaya (OKU) bersama Masyarakat Membasmi Dadah di sini hari ini.

Johari berkata, sekiranya tidak ditangani dengan segera, hasrat melihat negara bebas dari ancaman dadah yang juga musuh nombor satu negara menjelang tahun 2015, mungkin tidak kesampaian.

Justeru, tegasnya, keadaan itu menuntut kepada satu gerakan pembasmian yang lebih fokus, tersusun, jitu dan menyeluruh tanpa bergantung kepada usaha kerajaan bagi menanganinya.

“Kita tidak boleh membiarkan kerajaan berjuang sendirian dalam hal ini, selain keperluan untuk melihat agensi kerajaan lebih agresif, seluruh rakyat perlu bangkit membasmi najis dadah,” tegas beliau.

Sehubungan itu, beliau mahu lebih banyak pertubuhan bukan kerajaan (NGO), swasta dan pihak sekolah tampil bersama-sama kerajaan menggembleng tenaga membanteras gejala tersebut.

Beliau menambah, ancaman dadah perlu ditangani secara menyeluruh kerana ia juga menjadi penyebab utama kepada penyakit berbahaya terutama AIDS.

Johari menarik perhatian, pada 1986 hanya empat kes HIV dilaporkan tetapi hari ini terdapat lebih 80,000 penghidap HIV di negara ini.

UM - 03.07.2006

0 Comments:

Post a Comment

<< Home