Friday, September 23, 2005

Rita Mai, Selepas Katrina Pi.............


1 juta tinggalkan Texas

GALVESTON, Texas 22 Sept. - Taufan Rita yang bergerak ke kawasan perairan Texas melintasi Teluk Mexico - malapetaka kedua dalam sebulan di wilayah Amerika Syarikat - memaksa lebih sejuta penduduk di pesisir pantai Texas melarikan diri ke utara negeri tersebut.

Pergerakan taufan Rita ke Texas mencapai tahap rekod ribut paling kuat, diramalkan mampu menyebabkan kerosakan paling dahsyat dalam tempoh 100 tahun.

Ia mencapai Kategori Lima dengan kelajuan pergerakan angin 285 kilometer sejam sejak melintasi Teluk Mexico dan dijangka tiba di kawasan pantai menjelang petang esok ataupun awal Sabtu ini.

Pada pukul 8 pagi ini (pukul 8 malam Khamis waktu Malaysia) pusat taufan Rita berada 790 kilometer di tenggara Galveston dan 1,040 kilometer dari tenggara Corpus Christi.

Selepas mengalami pengalaman pahit daripada taufan Katrina yang melanda negeri Louisiana dan Mississippi akhir bulan lalu, pihak berkuasa bandar-bandar di sepanjang pesisir Texas mengarahkan semua penduduk segera berpindah.

Turut dipindahkan ialah penduduk di bandar Pulau Galveston, Corpus Christi dan Houston yang terletak di kawasan rendah.

Galveston pernah dilanda taufan kuat pada 8 September 1900. Ketika itu kejadian berkenaan mengakibatkan 6,000 orang terkorban dan sebahagian besar bandar itu musnah.

Hanya tiga taufan Kategori Lima pernah melanda AS, antaranya ialah taufan Andrew yang melanda Florida Selatan pada 1992.

Gabenor Texas, Rick Perry yang mengarahkan penduduk di kawasan pantai sepanjang 483 kilometer berpindah, berkata, ramalan komputer digunakan bagi menentukan keadaan kawasan yang ditenggelami air semasa taufan.

Menurutnya, 5,000 anggota Pengawal Kebangsaan Texas diarah bersedia dan 1,000 kakitangan Jabatan Keselamatan Awam membantu sepanjang laluan perpindahan.

Pusat penempatan sementara untuk 250,000 penduduk yang dipindahkan dibuka di Huntsville, College Station, San Antonio dan Dallas.

Datuk Bandar Corpus Christi, Henry Garret pula berkata, urusan memindah penduduk berjalan lancar selepas mendapat pengajaran daripada taufan Katrina.

``Satu perkara yang kami sedar perlu dilakukan di Corpus Christi adalah pelan pemindahan. Kami rasakan perpindahan perlu dilakukan beberapa hari lebih awal daripada apa yang dirancangkan,'' katanya. - Agensi

Petikan: Utusan Malaysia 23 September 2005

0 Comments:

Post a Comment

<< Home