Thursday, December 29, 2005

Akademi Fantasia Haram?

Saudi haram SMS undi program realiti

RIYADH: Pengendali telefon bimbit Arab Saudi, Mobily menamatkan khidmat sistem pesanan ringkas (SMS) untuk pengguna mengundi bagi memilih pemenang pertandingan televisyen Arab, `Star Academy’ selepas fatwa mengharamkan program itu.

Pada Mei lalu, ulama Saudi mengutuk program televisyen popular itu yang disiarkan oleh stesen Lubnan LBC, yang dianggap sebagai jenayah terhadap Islam selepas seorang pemuda Saudi disambut secara besar-besaran apabila memenangi pertandingan itu di Beirut.

“Keputusan itu diambil malam kelmarin disebabkan fatwa yang dikeluarkan itu serta program itu dianggap tidak cocok.

“Program itu menyiarkan lelaki dan wanita duduk serumah dan ada kalanya separuh bogel serta dalam keadaan tidak sesuai,” kata jurucakap syarikat telefon itu, Humoud Alghodaini, semalam.

Program itu memasuki musim ketika minggu lalu dengan disertai dua lelaki Saudi berusia 21 tahun yang bersaing dengan 17 lagi peserta dari seluruh dunia Arab. Mereka akan berkongsi sebuah rumah dalam usaha memenangi kontrak rakaman.

Arab Saudi mempunyai peraturan Syarak yang ketat serta Islam melarang lelaki dan wanita bukan muhrim bercampur gaul lebih-lebih lagi duduk serumah.

Saudi Telecommunications Co. (STC), menjadi syarikat perkhidmatan telefon bimbit utama pada Januari lalu menyatakan akan menghalang pengguna perkhidmatannya mengundi untuk program itu menerusi SMS. – Reuters

STC mempunyai kira-kira 10 juta pelanggan berbanding dua juga pelanggan yang berdaftar dengan Mobily yang dimiliki oleh syarikat telekomunikasi Emiriah Arab Bersatu (UAE), Etisalat.

“Pasti kita mengalami kerugian tetapi kita tidak tahu berapa banyak kerugian itu. Kita perlu menghentikan khidmat itu jika mahu mengelak daripada sebarang tindakan dan menjejaskan imej syarikat,” kata Alghodaini.

Pada April lalu, rakyat Saudi, Hisham Abdulrahman memenangi pertandingan itu. Beliau mencetuskan histeria pop di negara itu dan ribuan peminatnya sentiasa mengerumuninya serta mencium pipi setiap kali beliau muncul di tempat awam. – Reuters

Petikan: Berita Harian 29 Disember 2005

0 Comments:

Post a Comment

<< Home