Friday, December 23, 2005

Mahdzir Khalid MB Kedah

Oleh Mohd Fuad Razali, Ridzuan Yop dan Johari Ibrahim

PM serah surat pelantikan untuk dapatkan perkenan Sultan hari ini

SUBANG: Datuk Mahdzir Khalid , 45, diumumkan sebagai Menteri Besar Kedah kesembilan menggantikan Datuk Seri Syed Razak Syed Zain yang meletakkan jawatannya, semalam, atas sebab kesihatan.

Pelantikan Mahdzir sudah pun dipersetujui Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah dan akan berkuat kuasa selepas mendapat perkenan rasmi baginda.

Mengumumkan perkara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, beliau akan menyerahkan surat pelantikan itu kepada Sultan Kedah hari ini bagi mendapat perkenan rasmi baginda.

“(Sebelum ini) Saya telah berkesempatan untuk menyembah pandangan mengenai pengganti Syed Razak kepada Sultan Kedah dan saya menamakan Mahdzir yang kini pemangku Menteri Besar Kedah.

“Sewaktu saya membayangkan hasrat saya untuk melantik Mahdzir, Sultan Kedah menyatakan persetujuan baginda dan esok pagi (pagi ini) saya akan sampaikan secara rasmi surat pelantikan itu kepada baginda,” katanya pada sidang media setibanya di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di sini selepas melawat kawasan banjir di Kelantan, semalam.

Abdullah juga merakamkan ucapan setinggi penghargaan dan terima kasih ke atas segala khidmat dan jasa yang diberikan Syed Razak kepada kerajaan negeri dan Persekutuan.

Ditanya sama ada Syed Razak ada memaklumkan kepada beliau mengenai hasratnya untuk melepaskan jawatan Menteri Besar, Abdullah berkata:

“Syed Razak ada membayangkan mengenai perkara itu bagi memberi laluan kepada penggantinya. Beliau ingin melihat Kedah terus maju dan ditadbir dengan sebaik-baiknya oleh penggantinya.

“Saya juga dimaklumkan keputusan peletakan jawatan itu diambil oleh Syed Razak kerana kesihatan yang terganggu menyebabkan beliau tidak boleh memberi sepenuh kekuatan dan tenaga untuk melaksanakan tugas berat lagi mencabar sebagai Menteri Besar.”

Mengenai beberapa jawatan lain yang disandang Syed Razak termasuk Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah, Abdullah berkata, perkara itu akan diserahkan kepada Mahdzir dan sehingga ini Syed Razak masih ahli parti dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kubang Rotan.

Sementara itu, Syed Razak, yang sedang bercuti panjang sejak 17 Julai lalu selepas diserang penyakit paresis, ketika dihubungi untuk meminta penjelasan berhubung peletakan jawatannya, cuma berkata: “Saya dah berhenti, hendak cakap apa lagi."

Peletakan jawatan Syed Razak diumumkan Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Datuk Syed Unan Mashri Syed Abdullah, dalam sidang media di Wisma Darulaman, Alor Star pada jam 4 petang, kira-kira sejam selepas bekas Menteri Besar itu menghadap Sultan Kedah.

Syed Razak, 61, dilihat menaiki Pajero diiringi beberapa pegawainya memasuki Istana Anak Bukit, kira-kira jam 2.45 petang bagi memaklumkan hasratnya meletakkan jawatan.

Beliau yang meninggalkan istana 50 minit kemudian, bagaimanapun gagal ditemui wartawan kerana terus pulang ke kediaman peribadinya di Lorong Cempaka 2, Taman Sophia.

Wartawan akhbar ini yang mengunjungi rumahnya juga gagal menemui Syed Razak dan seorang pegawainya memberitahu bekas Menteri Besar itu sibuk berkemas untuk ke Kuala Lumpur.

"Insya-Allah, beliau akan bertemu anda selepas pulang nanti," katanya sambil meminta wartawan beredar dan tidak menunggu di depan rumah bekas Menteri Besar itu.

Syed Unan Mashri pada sidang medianya menjelaskan Syed Razak tidak mahu mengumumkan sendiri peletakan jawatannya kerana berpendapat lebih baik pentadbiran negeri berbuat demikian.

Mengenai sebab Syed Razak meletakkan jawatan, beliau berkata: “Mungkin selepas bercuti panjang, beliau memikirkan perlu berbuat demikian bagi memastikan kesinambungan program pembangunan negeri."

Syed Razak diserang paresis pada 8 April lalu dan bercuti selama tiga bulan mulai 17 Julai lalu untuk menjalani rawatan sebelum menyambung cuti tiga bulan lagi mulai 17 Oktober hingga 16 Januari ini.

Sejak itu, Mahdzir yang juga Adun Pedu dan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Pembangunan Luar Bandar dan Pembangunan Koperasi dilantik memangku jawatan berkenaan.

Dalam tempoh berkenaan, Mahdzir turut dilantik sebagai Pemangku Pengerusi Perhubungan Umno Kedah.

Petikan: Berita Harian 23 Disember 2005

0 Comments:

Post a Comment

<< Home