Monday, December 12, 2005

Tun Dr. Mahathir Melatah....

Tun Dr Mahathir bidas anggota Umno

KUALA LUMPUR, 11 Dis - Tun Dr Mahathir Mohamad yang menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun sedih kerana Umno tidak menyokongnya selepas beliau mendedahkan penyalahgunaan kuasa mengenai isu permit import (AP).

Bekas Presiden Umno itu juga mengkritik anggota Umno yang menurutnya ‘tidak berani tampil’ walaupun tahu ada perkara yang tidak betul sedang berlaku.

Beliau turut membidas Wanita Umno yang ‘tidak bersuara walau sepatah’ mengenai perkara itu hanya kerana ia berkaitan dengan ketua mereka, Datuk Seri Rafidah Aziz yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

Katanya, apabila mendapat tahu ada sesuatu yang tidak kena, beliau pada mulanya enggan bercakap mengenainya tetapi mengubah fikiran dengan harapan untuk menarik perhatian pihak lain berhubung penyalahgunaan kuasa yang menggugat industri automotif negara.

Beliau berkata demikian ketika sesi soal jawab selepas memberi ceramah bertajuk Isu Semasa dalam Politik Malaysia, anjuran Institut Kajian Politik dan Ekonomi (IKAPE), di sini semalam.

Ceramah dan sesi soal jawab lebih dua jam yang dihadiri kira-kira 100 orang, kebanyakannya golongan muda terpelajar Malaysia diadakan di galeri lukisan NN Gallery, di Taman Ampang Hilir, dekat sini.

Dr Mahathir turut mendedahkan ada seorang konglomerat Bumiputera terpaksa membayar berjuta-juta ringgit untuk mendapatkan AP bagi mengimport model kereta tertentu yang diberikan taraf pengedar tunggal kepada kumpulan lain.

Beliau juga kesal kerana Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) tidak berani membangkitkan perkara itu walaupun ada memberi penjelasan panjang lebar berhubung penyalahgunaan kuasa itu kepada mereka yang datang menemuinya.

“Lain kali saya tidak mahu membuang masa memberi penjelasan kepada orang yang datang berjumpa saya hanya untuk menambah pengetahuan mengenai sesuatu isu,” katanya.

Beliau berkata, ahli Parlimen BN tidak berani mengkritik kerajaan dalam Parlimen mungkin kerana BN berjaya mendapat lebih 90 peratus kerusi pada pilihan raya umum lalu.

“Saya percaya negara memerlukan kerajaan yang kuat tetapi tidak terlalu kuat. Kita memerlukan pembangkang untuk mengingatkan kita mengenai kesalahan yang dilakukan. Jika tidak, kita merasakan semua yang dilakukan betul,” katanya.

Justeru, katanya, sesuatu yang reput tidak boleh dibiarkan terus mereput dan jika ingin memulihkan keadaan, “anda perlu membuang bahagian yang reput itu.”

Dr Mahathir kemudian membandingkan situasi ketika beliau menjadi Ahli Parlimen biasa pada 1960-an apabila “menghadapi risiko” untuk mengkritik Perdana Menteri ketika itu, Tunku Abdul Rahman kerana dasarnya terhadap orang Melayu.

Mengenai kerugian RM158 juta yang dialami Proton Holdings Bhd (Proton), penasihat syarikat kereta nasional itu berkata, ia mengejutkan dan menyifatkannya sebagai ‘misteri’.

Dr Mahathir berkata sukar baginya untuk percaya bahawa kerugian itu disebabkan oleh pembelian syarikat pengeluar motosikal, MV Agusta dari Itali.

“Jika Agusta mempunyai banyak hutang, harga pembeliannya pasti rendah. Kenapa Proton harus membelinya pada harga tinggi walaupun terpaksa menanggung hutang syarikat yang dibelinya...pasti ada beberapa misteri,” katanya.

Dr Mahathir juga menjangkakan lebih banyak berita buruk mengenai Proton akan diumumkan selepas ini bagi menunjukkan pengurusan sebelum ini melakukan kesalahan.

Menyentuh mengenai program penswastaan, Dr Mahathir mengakui kegagalannya berikutan syarikat yang diswastakan itu tidak cekap.

Justeru, beliau berkata, dasar itu disemak semula yang membawa kepada kewujudan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang kini memiliki sebahagian besar saham kerajaan dalam syarikat besar.

“Ia seperti menasionalkan semula syarikat ini. Hanya masa yang menentukan sama ada ia bagus atau sebaliknya. Bagaimanapun kita perlu juga memikirkan seandainya penswastaan benar-benar gagal... isu ini layak dibahaskan,” katanya.

Beliau turut mengakui gagal mengubah cara pemikiran orang Melayu sepanjang menjadi Perdana Menteri.

“Pendidikan saja tidak cukup. Jika anda tidak mempunyai keperibadian yang kuat, tidak berdisiplin, pendidikan itu menjadi tidak berguna. Justeru, sistem pendidikan negara perlu memberi penekanan terhadap semua perkara ini,” katanya.

Petikan: Berita Harian 11 Disember 2005

0 Comments:

Post a Comment

<< Home