Thursday, November 17, 2005

UPSR 2005

CEMERLANG: Nurshafiqah Munirah Halimi,12, pelajar terbaik keseluruhan bagi UPSR 2005 menunjuk slip keputusan 4A1 yang diperolehinya.

UPSR: Pencapaian murid naik 0.5 peratus

PUTRAJAYA: Keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun ini mencatatkan pencapaian murid di sekolah kebangsaan (SK) dan sekolah jenis kebangsaan (SJK), naik 0.5 peratus berbanding tahun lalu.

Seramai 35,870 orang atau 7.3 peratus daripada 506,814 calon yang menduduki peperiksaan itu tahun ini memperoleh 5A atau 7A berbanding 32,982 calon (6.8 peratus) pada 2004.

Buat pertama kalinya, Kementerian Pelajaran turut mengumumkan pencapaian memberangsangkan oleh calon istimewa iaitu dari kalangan pelajar kurang upaya termasuk lumpuh, buta, menghidap disleksia dan autistik.

Daripada 630 calon istimewa, 15 orang atau 2.4 peratus berjaya memperoleh 5A atau 7A manakala 402 orang atau 63.8 peratus pula menguasai tahap minimum sekurang-kurangnya bagi satu mata pelajaran.

Wan Nurshafiqah Munirah Halimi dari Sekolah Kebangsaan Kampung Raja, Besut, Terengganu, muncul pelajar terbaik keseluruhan bagi UPSR 2005, manakala 28 lagi pelajar cemerlang termasuk empat pelajar istimewa.

Semua pelajar cemerlang itu akan diraikan pada satu majlis khas bersama Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dalam tempoh terdekatini.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr Ahamad Sipon, berkata 473,544 calon atau 95.8 peratus mencapai minimum Gred C dalam sekurang-kurangnya satu mata pelajaran berbanding 466,402 calon (95.4 peratus) tahun lalu.

“Ini bermakna kurang daripada lima peratus calon yang pencapaiannya di bawah tahap minimum dalam semua mata pelajaran yang diduduki,” katanya pada sidang media mengumumkan keputusan UPSR 2005, di sini, semalam.

Ahamad berkata, analisis keputusan menunjukkan pencapaian murid dalam 10 mata pelajaran meningkat, manakala dua lagi subjek iaitu Bahasa Melayu Penulisan (SK) dan Bahasa Melayu Penulisan (SJK) menurun.

Seramai 86.6 peratus calon Bahasa Melayu Penulisan (SK) mencapai tahap minimum (Gred A hingga C) berbanding 87.1 peratus pada 2004 manakala Bahasa Melayu Penulisan (SJK) mencapai 67 peratus berbanding 68.2 peratus.

Tujuh subjek mencatatkan pencapaian cemerlang iaitu lebih 80 peratus calonnya melepasi tahap minimum, dengan Bahasa Melayu Pemahaman (SK) merekodkan 92.2 peratus mendapat sekurang-kurangnya Gred C.

Bahasa Melayu Penulisan (SK) mencatat 86.5 peratus, Bahasa Cina Pemahaman (88.8 peratus), Bahasa Cina Penulisan (87.7 peratus), Bahasa Tamil Pemahaman (87.9 peratus), Matematik (85.3 peratus) dan Sains (85.4 peratus).

Seramai 473,544 atau 95.8 peratus daripada 506,814 calon UPSR 2005 mencapai sekurang-kurangnya Gred C dalam sekurang-kurangnya satu mata pelajaran berbanding 95.4 peratus (466,402 calon) tahun lalu.

Ahamad berkata, jumlah calon yang mendapat 5A bagi SK atau 7A di SJK juga meningkat daripada 6.8 peratus atau 32,982 calon pada 2004 kepada 7.3 peratus, membabitkan 35,870 calon tahun ini.

Katanya, prestasi calon yang mendapat Gred A bagi mata pelajaran Bahasa Inggeris di SK dan Bahasa Inggeris di SJK masing-masing meningkat 3.6 peratus dan 3.1 peratus berbanding UPSR 2004.

Tahun ini, 14.2 peratus calon Bahasa Inggeris di SK mencatat Gred A dengan 69.3 peratus calon melebihi tahap minimum (Gred C) manakala 27.4 peratus calon Bahasa Inggeris di SJK mendapat Gred A dengan 70.1 peratus sekurang-kurangnya Gred C.

“Peratusan calon luar bandar melepasi tahap penguasaan minimum bagi mata pelajaran Bahasa Inggeris di SK meningkat 4.1 peratus yang menggambarkan usaha kerajaan menggalakkan penguasaan Bahasa Inggeris kepada murid luar bandar berkesan,” katanya.

Sebanyak 53.9 peratus calon Bahasa Melayu Penulisan (SK) dan 39.3 peratus calon Bahasa Melayu Pemahaman (SK) mencatat gred A. Bagi Matematik, 33.7 peratus calon mencatat gred A dengan 85.3 peratus melepasi tahap minimum.

Bagi subjek Sains, hanya 20.5 peratus calon mendapat Gred A dengan 85.4 peratus mendapat sekurang-kurangnya C.

Ahamad berkata, walaupun kertas soalan Sains dan Matematik UPSR tahun ini ditulis dalam dwibahasa, iaitu Melayu dan Inggeris, calon diminta menjawab dalam bahasa Melayu atau bahasa ibunda kerana pengajaran dalam bahasa berkenaan.

Katanya, soalan dan jawapan bagi kertas Sains dan Matematik UPSR dalam bahasa Inggeris sepenuhnya bermula pada 2008.

Bagi subjek lain, katanya, 22.2 peratus calon Bahasa Melayu Pemahaman (SJK) mendapat Gred A dengan 72.6 peratus melebihi tahap minimum. Hanya 18.6 peratus calon Bahasa Melayu Penulisan (SJK) mencatat Gred A dan 67.0 peratus melepasi tahap minimum.

Petikan: Berita Harian 17 November 2005

0 Comments:

Post a Comment

<< Home