Tuesday, October 18, 2005

Tutup PROTON?

Proton perlu ditutup kalau tidak berdaya saing - Mahathir

PUTRAJAYA 17 Okt. - Proton Holdings Berhad (Proton) perlu ditutup jika rakyat menganggap ia tidak berdaya saing sehingga membebankan negara dan menyumbang kepada harga kereta yang tinggi di negara ini, kata Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Penasihat Proton itu berkata, pihak pengurusan Proton perlu melihat dan mengambil kira semua pandangan orang ramai berhubung kedudukan serta prestasi terkini kereta nasional itu demi kepentingan masa depan industri automotif negara.

``Kita tutup sahaja Proton kalau itu yang orang mahu, jika ada yang berpendapat ia sebagai cara mengatasi masalah yang banyak kita dengar hari ini, termasuk masalah AP (permit import) dan sebagainya.

``Satu cara untuk mengatasi masalah ini ialah kita tidak ada perusahaan automotif di Malaysia, kita tutup sahajalah (Proton),'' katanya kepada pemberita selepas menyampaikan Geran Penyelidikan Yayasan Kepimpinan Perdana 2005 kepada lima sarjana institusi pengajian tinggi awam (IPTA), tempatan di sini hari ini.

Bagaimanapun, bekas Perdana Menteri itu mengakui bahawa Proton merupakan idea beliau untuk menjadikan Malaysia sebagai salah sebuah negara pengeluar produk automotif ketika memegang jawatan Perdana Menteri.

``Memang Proton merupakan idea saya tetapi tidak bermakna kerajaan menyokong pandangan saya,'' tambah beliau.

Sabtu lalu, Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan (BBC), Datuk Shahrir Samad berkata, Proton harus ditutup sekiranya industri kereta nasional yang telah beroperasi lebih 20 tahun tersebut masih gagal memenuhi piawaian kualiti antarabangsa serta tidak mampu dieksport ke luar negara.

Beliau berkata, kereta-kereta keluaran Proton yang menggunakan hampir 90 peratus komponen tempatan tidak memberi sebarang kesan kerana harga kenderaan keluarannya masih tinggi dan tidak kompetitif berbanding dengan kereta-kereta import.

Menurut Shahrir, penggunaan 40 peratus komponen tempatan bagi setiap kereta keluaran Proton memadai untuk membolehkan harga kenderaan itu turut bersaing dalam Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN (AFTA) khususnya bagi menawarkan harga yang kompetitif serta mampu dibeli oleh rakyat tempatan.

Kenyataan tersebut merupakan reaksi Shahrir berhubung penafian bekas Perdana Menteri itu dalam wawancara dengan TV3 melalui rancangan The Exchange mengenai pemberian status kereta nasional kepada Naza Ria yang hanya menggunakan 18 peratus komponen tempatan.

Dalam pada itu, beberapa reaksi orang ramai menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) berhubung kenyataan Shahrir yang diterbitkan oleh sebuah akhbar hari ini, menggesa supaya kerajaan mengambil tindakan segera menutup Proton kerana dianggap membebankan rakyat dan gagal mencapai objektif.

Sementara itu, Dr. Mahathir berkata, beliau telah bosan kerana terpaksa menjawab pelbagai isu berhubung Proton setiap masa dan pertanyaan tersebut seolah-olah menggambarkan hanya beliau yang membuat keputusan berhubung kereta nasional itu.

``Saya terpaksa menjawab. Sekarang ini saya agak bosan dengan pembetulan. Bila ada yang bertanya, saya terpaksa menjawab lagi. Tapi, saya masih memegang jawatan sebagai Penasihat Proton.

``Begitu juga dengan isu AP. Saya bosan terhadap kontroversi seperti ini, dah beberapa bulan tetapi belum surut,'' tambah beliau.

Mengenai surat beliau bertarikh 14 Julai 2005 kepada Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Rafidah Aziz, Dr. Mahathir berkata, ia merupakan pandangannya berhubung beberapa aspek tentang AP.

``Saya hanya mendedahkan kandungan surat saya. Jadi, terserah kepada orang ramai sama ada mahu mempercayainya atau tidak apa yang saya ceritakan dalam surat itu. Sudah semestinya saya menjelaskan yang terbaik kepada semua pihak,'' katanya.

Petikan: Utusan Melayu 18 Oktober 2005

1 Comments:

At 1:39 AM, Anonymous Anonymous said...

Tutup je la Proton, abiskan duit rakyat je.

 

Post a Comment

<< Home