Friday, October 07, 2005

Proton Tak Laku Maka Disalahkan AP

Proton, Perodua gagal puaskan pembeli kereta

KUALA LUMPUR 6 Okt. - Proton dan Perodua gagal memastikan pembeli sedia ada kereta nasional itu berpuashati dan komited kepada jenama mereka berbanding jenama-jenama asing, demikian menurut kajian terbaru firma Taylor Nelson Sofres (TNS).

Pengarah Akaun Kumpulan TNS, Kamaruld Salleh berkata, kejayaan jenama asing digambarkan berdasarkan keupayaannya menyediakan faedah emosi yang sukar dilihat tetapi diingini oleh pembeli, selain memastikan pemilik sedia ada berpuas hati dan komited kepada jenama mereka.

Dalam konteks ini, kata beliau, Mercedes-Benz dan BMW menerajui kategori tarikan utama kereta mewah, manakala bukan mewah ialah Honda dan Toyota.

``Proton dan Perodua adalah lemah jika dibandingkan dengan jenama lain dalam kedua-dua aspek itu, yang menunjukkan potensi ancaman terhadap penguasaan pasaran mereka apabila persaingan di negara ini menjadi semakin sengit.

Kedudukan

``Rumusan dalam kajian itu mendapati jenama seperti Honda dan Toyota berada dalam kedudukan kukuh kerana ramai pemilik Proton dan Perodua akan memasuki pasaran gantian dalam tahun-tahun mendatang,'' katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kajian Jenama dan Segmen Keperluan Malaysia menyatakan kebanyakan jenama menarik mempunyai tarikan emosi yang tinggi.

Enam segmen keperluan utama dikenal pasti yang berkait dengan emosi sehingga mendorong pemilihan jenama ialah keselesaan, kepopularan, keselamatan, kawalan, tarikan dan status.

Dalam kajian TNS itu, kedua-dua kereta nasional berada di tangga paling bawah daripada 15 jenama kereta dengan Proton mendapat undian 28 peratus dan Perodua 22 peratus.

Kajian TNS itu didakwa sebagai kajian industri meluas yang pertama kali diadakan di Malaysia untuk memahami motivasi di sebalik pembelian kereta dan tanggapan pelanggan terhadap jenama kereta utama.

Sementara itu, Pengurus Besar TNS Automotive, Rajeev Lochan berkata, mengikut kajian itu, lebih 85 peratus daripada pembeli kereta baru mementingkan pilihan jenama ketika membuat keputusan untuk membeli kereta baru.

``Ini mempunyai kesan terhadap pengeluar kereta di Malaysia kerana walaupun sebahagian besar memilih keperluan praktikal yang dipengaruhi pertimbangan seperti harga dan kos penyelenggaraan, peningkatan keperluan emosi seperti populariti dan tarikan menunjukkan anjakan dalam pasaran,'' katanya.

Petikan: Utusan Malaysia 7 Oktober 2005

0 Comments:

Post a Comment

<< Home