Friday, October 07, 2005

Lagu "Negaraku"

Negaraku kembali rentak asal

Oleh: ROSNIZA MOHAMAD

KUALA LUMPUR 6 Okt. - Muktamad. Lagu Negaraku akan dikekalkan dengan rentak asal seperti yang didendangkan semasa mula diperkenalkan pada tahun 1956, kata Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Malaysia, Datuk Seri Dr. Rais Yatim.

Serentak dengan itu, Rais berkata, lagu Negaraku rentak tersebut akan diwartakan di bawah Akta Lagu Kebangsaan yang berkuat kuasa selewat-lewatnya penghujung tahun ini.

``Kita akan pastikan versi dan lagu Negaraku rentak moderato tidak akan berubah lagi bagi menjaga kehormatan dan kesenian lagu kebangsaan itu.

``Tiada apa yang lebih menggembirakan apabila semua pihak mencapai kata sepakat dalam membincangkan isu berhubung lagu Negaraku ini,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Isu berhubung lagu Negaraku mula mendapat perhatian apabila Ahli Parlimen, Datuk Mohamed Aziz (BN-Sri Gading) mendakwa penyanyi Hattan menghina lagu Negaraku kerana tidak menyanyikan lagu itu dengan versi betul pada perlawanan akhir Piala Malaysia Sabtu lalu.

Pelbagai pihak termasuk pencipta lagu tanah air turut meminta kerajaan mengekalkan sifat muzikal lagu asal Negaraku yang dikatakan sudah sebati dengan sebilangan besar rakyat Malaysia kerana memiliki `semangat' tersendiri yang mampu membangkitkan rasa megah dan hormat rakyat pada negara.

Menurut Rais, mesyuarat Kabinet lalu memutuskan isu berhubung lagu Negaraku itu akan dilakukan bersama dengan Menteri Penerangan, Datuk Seri Abdul Kadir Sheikh Fadzir.

Untuk itu katanya, lagu Negaraku akan dirasmikan semula penggunaannya di seluruh tanah air iaitu selepas proses rakaman selesai dilakukan.

Dengan cara itu, Rais memberitahu, lagu yang pernah diubah rentak dan temponya pada 30 Ogos 1993 dan 2003 itu akan kekal sebagaimana asal tanpa perlu ada kekeliruan lagi.

Katanya, rentak lagu Negaraku yang lebih cepat rentaknya sebelum ini dilihat adalah tidak wajar dan kurang `bersengat' dalam membangkitkan semangat cinta pada negara.

``Kalau ikut pembudayaan, versi dan lagu Negaraku yang lama lebih menimbulkan rasa kasih dan hormat kepada negara,'' ujarnya.

Petikan: Utusan Malaysia 7 Oktober 2005

0 Comments:

Post a Comment

<< Home