Tammy Mai Pulak...
Ribut Tammy badai utara Florida
JACKSONVILLE, Florida 6 Okt. - Selepas taufan Rita dan Katrina, kini ribut tropika Tammy mula membadai kawasan darat di utara Florida setelah berlegar di tepi pantai dan membawa hujan lebat dan angin kencang keGeorgia dan Carolina Utara dan Selatan.
Ribut itu tiba di kawasan darat semalam dekat Mayport, yang menjadi lokasi bagi sebuah pangkalan tentera laut yang utama kira-kira 24 kilometer ke timur Jacksonville.
Pusat Taufan Kebangsaan berkata, ribut itu membawa angin kencang yang bertiup selaju 80 kilometer sejam pada pukul 8 malam tadi (8 pagi ini waktu Malaysia) dan bergerak ke arah barat laut dengan kelajuan 22.5 kilometer sejam.
Ribut itu dijangka bergerak lebih jauh ke kawasan darat Florida hari ini.
``Kawasan yang dijangka mengalami kesan paling teruk akibat ribut itu ialah pantai tenggara Georgia,'' kata pakar kaji cuaca Chris Sisko.
Tammy mula melanda pantai timur Florida awal semalam dan membawa hujan lebat ke utara Florida dan sebahagian daripada Georgia dan Carolina Selatan.
Amaran ribut tropika telah dikeluarkan di Pantai Fernandina ke utara Sungai Santee di Carolina Selatan, yang bermakna keadaan ribut tropika dijangka melanda kawasan-kawasan berkenaan dalam tempoh 24 jam.
Ribut itu dijangka membawa hujan lebat ke tenggara Georgia, di kawasan timur Carolina Selatan dan di tenggara Carolina Utara, kata Pusat Taufan Kebangsaan.
Ketibaan hujan lebat itu bagaimanapun dialu-alukan di beberapa bahagian di Carolina Utara dan Selatan yang dilanda musim kemarau yang teruk baru-baru ini.
Urus niaga bagaimanapun terjejas teruk di Pantai Jacksonville, yang dijangka dilanda satu lagi ribut tropika yang lebih dahsyat.
Setakat ini, tujuh taufan telah melanda atau melintasi Florida dalam tempoh 14 bulan lalu. Negeri itu dilanda tiga taufan tahun ini. - AP
Petikan: Utusan Malaysia 7 Oktober 2005
0 Comments:
Post a Comment
<< Home