Wednesday, October 12, 2005

Ramai Tak Reti Membaca?

NUTP akui banyak murid tak tahu baca

Oleh ABDUL MUIN SAPIDIN

KUALA LUMPUR 11 Okt. - Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) mengakui hampir semua sekolah rendah di seluruh negara ada menempatkan murid yang tidak tahu membaca, menulis dan mengira pada masa ini.

Setiausaha Agung NUTP, Lok Yim Pheng berkata, senario membimbangkan itu dipengaruhi oleh beberapa faktor termasuk kekurangan guru bagi mengendalikan kelas pemulihan bagi murid yang mengalami masalah membaca dan menulis.

``Masalah ini sudah lama berlaku, ia hampir berlaku di setiap sekolah rendah. Kerajaan pernah cuba menangani masalah ini dengan mewujudkan kelas pemulihan bagi membantu murid ini.

``Tetapi kita dapati guru yang mengendalikan kelas ini amat terbatas, ada sekolah yang menyediakan hanya seorang guru untuk mengendalikan kelas pemulihan bagi semua kelas tahun satu hingga tahun tiga,'' katanya kepada Utusan Malaysia hari ini.

Beliau mengulas kenyataan seorang penyokong kerajaan yang mendedahkan 114,000 murid dari tahun dua hingga tahun enam di seluruh negara tidak tahu membaca, menulis dan mengira.

Datuk Mohd. Sarit Yusoh (BN-Temerloh) ketika membahaskan Bajet 2006 pada sidang Dewan Rakyat di sini ini berkata, Kementerian Pelajaran perlu mempunyai program jangka panjang bagi memastikan tidak ada lagi pelajar sekolah rendah yang mengalami masalah itu.

Yim Pheng berkata, selain faktor kekurangan guru kelas pemulihan, masalah itu juga disebabkan oleh faktor berikut:

Murid kelas pemulihan juga terpaksa mengikuti kelas sukatan pelajaran lain, jadi mereka tidak boleh memberi tumpuan sepenuhnya dalam kelas pemulihan.

Murid tidak mendapat pendidikan asas dari awal (prasekolah) sehingga menyukarkan mereka menyesuaikan diri dengan kelompok murid pintar.

Murid lewat mendaftar masuk kelas tahun satu (ada yang lewat hingga satu dan dua bulan) menyebabkan mereka tidak mengikuti pendidikan asas membaca dari awal.

Masalah keluarga, murid kerap tidak hadir ke sekolah sehingga ketinggalan dalam proses pembelajaran.

Wujud kelompok murid yang mempunyai daya pemikiran yang pantas dan lembap. Jika tidak diasingkan, yang lembap akan terus ketinggalan; dan

Murid tidak mempunyai sebarang minat untuk belajar.

``Jadi, NUTP berpandangan, kerajaan perlu mengukuhkan peranan kelas pemulihan bagi memastikan murid yang mengalami masalah tersebut dapat `dipulihkan' secara lebih berkesan,'' tambahnya.

Petikan: Utusan Melayu 12 Oktober 2005

0 Comments:

Post a Comment

<< Home