Tuesday, October 11, 2005

Gempa bumi di Pakistan

Ratusan terperangkap, banyak bandar musnah di Pakistan -- Seluruh generasi lenyap

ISLAMABAD 10 Okt. - Gempa bumi yang paling teruk dalam sejarah negara Pakistan kelmarin telah menyebabkan keseluruhan generasi lenyap dalam sekelip mata di banyak kawasan di utara negara itu.

Jurucakap tentera Pakistan, Mejar Jeneral Shaukat Sultan berkata, golongan paling teruk menjadi mangsa ialah kanak-kanak sekolah yang menghadiri kelas pada pagi kelmarin.

``Kesemua generasi lenyap di kawasan yang paling teruk dilanda kemusnahan. Paling ramai terkorban ialah kanak-kanak sekolah,'' kata Shaukat di sini.

``Penyelamat menarik keluar mayat kanak-kanak di Muzaffarabad tetapi tidak ada orang untuk menuntut mayat kerana ibu bapa mereka juga telah mati,'' kata beliau dengan merujuk kepada ibu kota Kashmir Pakistan.

``Rawalakot sudah musnah. Muzaffarabad 70 peratus musnah. Tidak ada sebuah rumah pun di Muzaffarabad yang tidak rosak. Tidak ada satu keluarga pun di sana yang tidak menjadi mangsa,'' tambah beliau.

Saksi dan wartawan melaporkan sekolah-sekolah musnah di hampir setiap pekan dan kampung di seluruh bahagian barat laut dan Kashmir Pakistan.

Ratusan terperangkap dalam runtuhan kerana gempa bumi itu berlaku pada awal waktu persekolahan.

Ibu bapa bertungkus-lumus menggali runtuhan dengan harapan semakin tipis untuk mengeluarkan anak-anak mereka.

Meskipun gempa bumi Asia Selatan melanda tiga negara tetapi Pakistan mengalami kemusnahan teruk.

Dalam pada itu, menurut agensi-agensi bantuan, lebih 120,000 mangsa memerlukan tempat berlindung segera dan sehingga empat juta dipercayai hilang tempat tinggal berikutan kemusnahan meluas di kawasan pergunungan di utara Pakistan.

Para pemimpin dunia menjanjikan lebih banyak bantuan hari ini dengan menghantar pasukan penyelamat tambahan dan helikopter manakala pasukan lapan anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mula menyelaraskan operasi bantuan di kawasan yang paling teruk dilanda kemusnahan.

``Kita tahu bahawa setiap jam itu penting dalam gempa bumi sekuat ini,'' kata Penyelaras Bantuan Kecemasan PBB, Jan Egeland sementara pasukan penyelamat bertungkus-lumus untuk mencari dan mengeluarkan mangsa yang masih hidup dari dalam runtuhan.

Pengarah Eksekutif Dana Kecemasan Kanak-Kanak Antarabangsa PBB (UNICEF), Ann Veneman berkata, separuh daripada penduduk di kawasan bencana adalah kanak-kanak yang terdedah kepada ancaman kebuluran, cuaca sejuk, penyakit dan trauma.

Bank Dunia mengumumkan kesediaan untuk menghulurkan AS$20 juta (RM75 juta) kepada Pakistan sementara Suruhanjaya Eropah (EC) telah memperuntukkan bantuan 3.6 juta euro (RM16.5 juta).

Amerika Syarikat (AS), Malaysia, Australia dan Bank Pembangunan Asia (ADB) meningkatkan komitmen bantuan masing-masing selepas Presiden Pakistan, Pervez Musharraf merayu bantuan seperti khemah, selimut, helikopter pengangkut dan ubat-ubatan.

China, Jepun, Rusia, Belanda, Arab Saudi, Singapura, Indonesia, Turki dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) adalah antara negara lain yang turut menghantar bantuan. - Agensi

Petikan: Utusan Melayu 11 Oktober 2005

0 Comments:

Post a Comment

<< Home