Thursday, October 13, 2005

Yang Tertinggal Terus Tertinggal.........

`Kejar' silibus punca murid ketinggalan

Oleh: HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 12 Okt. - Keghairahan pihak sekolah untuk menamatkan sukatan pelajaran atau silibus dilihat sebagai punca utama masih wujud pelajar tidak tahu membaca, menulis dan mengira walaupun negara dalam fasa kedua menuju Wawasan 2020.

Presiden Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat, Prof. Madya Dr. Rahman Daud berkata, beliau melihat perkara tersebut sebagai puncanya kerana para guru sentiasa `mengejar' bagi menamatkan sukatan pelajaran hingga tidak dapat memberi perhatian kepada pelajar yang lemah dalam kemahiran asas.

Katanya, disebabkan itu murid lemah akan terus ketinggalan kerana guru perlu mengutamakan keperluan majoriti murid dengan meneruskan pengajaran mengikut silibus yang ditetapkan.

``Akhirnya sampai naik darjah enam pun tidak boleh membaca, sebab hujung tahun tetap naik darjah dan yang tercicir ini hanya segelintir bilangannya di setiap sekolah.

``Pada saya kita kena pastikan sampai darjah tiga saja, murid mesti boleh menguasai tiga kemahiran ini,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau ditanya mengenai pendedahan yang dibuat di Dewan Rakyat berhubung terdapat 100,000 murid sekolah rendah dari tahun 2 hingga tahun 6 tidak tahu membaca, mengira dan menulis.

Datuk Mohd. Sarit Yusoh (BN-Temerloh) berkata, jumlah itu mewakili tiga peratus dari murid sekolah rendah di negara ini.

Sehubungan itu beliau berpendapat Kementerian Pelajaran perlu mempunyai program jangka panjang bagi memastikan tidak ada lagi murid sekolah rendah tidak tahu membaca, menulis dan mengira.

Menurut Abdul Rahman, kebanyakan kes membabitkan pelajar yang tidak tahu membaca adalah di luar bandar.

``Terutama sekali bagi mereka yang tidak pernah mengikuti kelas prasekolah. Walaupun jumlahnya mewakili peratusan sangat kecil tetapi jika dilihat dari angka, ia suatu jumlah besar dan sememangnya tidak boleh dibiarkan,'' ujarnya.

Petikan: Utusan Malaysia 13 Oktober 2005

0 Comments:

Post a Comment

<< Home