Wednesday, October 19, 2005

Siapa "Menteri Tandas" Pertama?

Wujudkan jawatan khas `menteri tandas' - Samy Vellu

KUALA LUMPUR 18 Okt. - Isu tandas Parlimen menghangatkan Dewan Rakyat hari ini apabila Menteri Kerja Raya, Datuk Seri S. Samy Vellu berperang mulut dengan Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Timur).

Kit Siang membangkitkan kegagalan kontraktor yang dilantik untuk mengubahsuai Bangunan Parlimen semasa menteri itu menggulung perbahasan Bajet 2006 dengan mengambil contoh masalah tandas dan secara sinis berkata, jawatan khas diwujudkan iaitu `ketua pengarah tandas' untuk mentadbir hal ehwal Parlimen termasuk tandas.

Secara spontan Samy Vellu berkata: ``Kita adakan satu `menteri tandaslah. Seperti apa yang dicadangkan oleh anggota Parlimen Ipoh Timur, kita adakan satu menteri tandaslah. Bila kita ada satu menteri tandas kita akan mengadakan ketua pembangkang tandas.''

Semalam Kit Siang turut membangkitkan perkara yang sama ketika Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz menggulung perbahasan rang undang-undang yang sama.

Dalam penjelasannya, Samy Vellu berkata: ``Hari pertama selesai pengubahsuaian tandas semua paling cantik macam pengantin baru. Kalau lama sudah guna dan orang tak peduli, tandas jadi tidak cantik.''

Tidak berpuas hati dengan jawapan itu, Fong Po Kuan (DAP-Batu Gajah) turut bangkit menjelaskan bahawa Dewan hanya bermesyuarat kira-kira 70 hari setahun dan penggunaan tandas tidak terlalu kerap sehingga boleh merosakkannya dalam tempoh yang singkat.

Samy Vellu bagaimanapun memberi jaminan bahawa semua masalah akan diatasi apabila kerja pengubahsuaian bangunan itu selesai sepenuhnya.

``Saya janji kepada pembangkang bahawa kerja-kerja ini apabila kita telah selesai secara keseluruhan kita akan ambil tindakan untuk menghadapi semua masalah secukupnya sebelum kita serahkan bangunan kepada Parlimen. Ini saya janjilah,'' katanya.

Sementara itu, Menteri Kerja Raya itu berkata, kerajaan kini sedang mempertimbangkan cadangan membina jambatan kedua di Pulau Pinang.

``Kajian kemungkinan bagi pembinaan jambatan kedua telah pun disiapkan,'' jelasnya.

Beliau bagaimanapun berkata, untuk mengatasi masalah kesesakan lalu lintas di jambatan sedia ada, kerajaan mengambil langkah melebarkan jambatan itu dengan menjadikannya tiga lorong di setiap arah dan lorong motosikal.

Petikan: Utusan Malaysia 19 Oktober 2005

0 Comments:

Post a Comment

<< Home