Friday, October 21, 2005

Ucapan Terima Kasih Dari PM

PM ucap terima kasih

PUTRAJAYA 20 Okt. - Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengucapkan ribuan terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia yang mendoakan kesejahteraan isterinya, Allahyarham Datin Seri Endon Mahmood sehingga ke akhir hayat beliau.

Perdana Menteri yang kelihatan sebak turut berharap semoga Allah berkati dan mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham.

``Allahyarham telah menghembuskan nafas terakhir kira-kira pukul 7.50 pagi ini, saya berharap semoga bacaan Yasin dan doa oleh tuan-tuan semua diberkati Allah dan disampaikan kepada roh Allahyarham, mudah-mudahan nanti Allahyarham ditempatkan bersama para solihin di sisi Allah.

``Kalau ada apa-apa masalah hutang membabitkan isteri saya atau apa-apa (barangan) yang belum dipulangkan balik atau perkara yang belum selesai, berjumpalah dengan ahli keluarga kami,'' kata Perdana Menteri.

Abdullah berkata demikian ketika menyampaikan ucapan ringkas di hadapan kediaman rasminya di Seri Perdana sejurus sebelum jenazah Allahyarham dibawa masuk ke dalam van jenazah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk dibawa ke Masjid Putra di sini sebelum dikebumikan.

Beliau yang berdiri di samping anak-anak, menantu dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak turut mengucapkan terima kasih kepada para hadirin yang datang memberikan penghormatan terakhir kepada jenazah Allahyarham.

``Kepada semua yang hadir, saya, anak-anak dan ahli keluarga ucapkan berbanyak terima kasih kerana telah berdoa untuk Endon, sekian wassalam,'' katanya.

Petikan: Utusan Malaysia 21 Oktober 2005

0 Comments:

Post a Comment

<< Home