Monday, October 24, 2005

Panggilan Balik Kampung

Najib perturun 8 `petua' elak nahas musim perayaan

Oleh MUSTAFA KAMAL BASRI

KUALA LUMPUR 23 Okt. - Sebanyak 6,223 orang terbunuh di jalan raya tahun lalu dengan 200 daripadanya menemui ajal semasa dalam perjalanan untuk menyambut Hari Raya.

Jumlah itu pastinya akan bertambah pada tahun ini jika orang ramai terus bersikap sambil lewa.

Jika itu berlaku, bayangkan berapa ramai lagi anak-anak yang tidak berdosa dan tidak mengerti apa-apa akan menjadi yatim, ibu bapa kehilangan anak, wanita menjadi balu serta keluarga hilang tempat bergantung.

Apakah semasa `panggilan balik kampung' yang bermula Jumaat ini, kita mahu menjadi salah seorang daripada penyumbang kepada angka kematian jalan raya yang saban tahun meningkat?

Tepuk dada tanya selera.

Dalam hal ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak menasihati: ``Jika kita memiliki dan mengamalkan sikap yang betul, sudah pasti kemalangan akan berkurangan.''

Beliau mengemukakan lapan `petua' untuk selamat sampai ke destinasi semasa Hari Raya dan Deepavali bersama orang yang tersayang.

Lapan panduan bagi mengurangkan kemalangan yang diumumkannya ketika melancarkan kempen bersepadu Keselamatan Jalan Raya Musim Perayaan Deepavali dan Hari Raya Aidilfitri 2005, di sini hari ini adalah:

* Jangan memandu dalam keadaan letih, tidak fokus atau mabuk;

* Jangan memandu melebihi had laju;

* Jangan melanggar lampu isyarat;

* Jangan menukar lorong tanpa memberi isyarat;

* Jangan memotong kenderaan lain secara berbahaya;

* Jangan melanggar peraturan jarak keselamatan ketika mengekori kenderaan lain;

* Jangan menyalahgunakan laluan kecemasan; dan

* Jangan mencelah di antara kenderaan lain secara berbahaya.

Menurut Najib, korban jalan raya semasa perayaan tahun lepas amat menyedihkan kerana kebanyakan mereka yang terbunuh itu adalah golongan muda.

``Fakta itu bukan saja sangat menyedihkan, tetapi ia juga sesuatu yang amat merugikan bangsa dan negara,'' katanya.

Katanya, mangsa yang terbunuh mungkin selamat jika mematuhi peraturan-peraturan yang ditetapkan dapat menjauhi lapan amalan berbahaya berkenaan.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan pengguna jalan raya menghentikan amalan-amalan berbahaya itu dan menggantikannya dengan amalan memandu dengan berhati-hati dan berhemah.

Beliau berkata, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) meramalkan bahawa kemalangan jalan raya akan menjadi punca kematian ketiga tertinggi menjelang 2020 sekiranya tiada usaha baru dilakukan bagi menangani masalah tersebut.

Katanya, jika usaha menangani masalah kemalangan jalan raya tidak diperhebatkan, dijangka jumlah kematian akibat kemalangan semasa musim perayaan akan bertambah memandangkan jumlah kenderaan di jalan raya telah meningkat tiga atau empat kali ganda.

Najib juga menasihati pemandu dan penumpang supaya memakai tali pinggang keledar kerana ia penting dan boleh menyelamatkan nyawa.

Selain itu katanya, kenderaan perlu dipastikan berada dalam keadaan baik dan selamat serta dilengkapi dengan peralatan keselamatan yang berfungsi dengan baik.

Penunggang motosikal pula katanya, perlu memakai topi keledar yang diiktiraf dan mengikatnya dengan kemas.

Katanya, seperti tahun-tahun sebelumnya, kerajaan pada tahun ini telah mengadakan kempen Keselamatan Jalan Raya sempena musim perayaan Deepavali dan Hari Raya Aidilfitri dengan membawa dua tema, `Menggunakan Pengangkutan Awam Mengurangkan Kemalangan' dan `Memandu, Menunggang dan Berjalan Dengan Selamat'.

Najib juga menggesa rakyat yang ingin pulang ke kampung menyambut Deepavali dan Aidilfitri, terutama penunggang motosikal menggunakan pengangkutan awam sebagai pilihan utama.

Katanya, perkhidmatan pengangkutan awam amat penting kerana ia boleh membantu mengurangkan kemalangan.

Beliau menggesa syarikat pengangkutan awam meningkatkan kualiti perkhidmatan supaya pengangkutan awam menjadi pilihan utama pengguna.

Petikan: Utusan Melayu 24 Oktober 2005

0 Comments:

Post a Comment

<< Home