Thursday, November 17, 2005

Pemuda belasah ibu sampai mati

Oleh Ahmad Naim Tahir, Jaafar Mulup dan Mohd Amin Jalil

GEMAS: Seorang pemuda membelasah ibunya hingga mati sebelum mencampak mangsa ke lereng cerun berhampiran rumah mereka dipercayai kerana berang diarah memperlahankan bunyi televisyen di Felda Pasir Besar, di sini awal pagi semalam.

Lelaki berusia 29 tahun itu yang dipercayai penagih dadah juga memukul bapanya di kepala sehingga menyebabkan mangsa terpaksa menerima 48 jahitan akibat luka serta retak tulang tangan kirinya.

Kejadian itu dikatakan berlaku jam 12.50 pagi apabila bapanya, Bujang Mahabib, 74, menegur anaknya yang juga seorang penganggur kerana menonton televisyen mereka pada awal pagi dengan bunyi yang kuat.

Berikutan itu, anak bongsu daripada sembilan beradik yang pernah beberapa kali dimasukkan ke Pusat Serenti serta mempunyai rekod jenayah terus beredar ke dapur dan mengambil sebatang kayu.

Dia kembali dan memukul Bujang bertalu-talu di bahagian kepala sebelum bapanya berlari keluar ke rumah jiran untuk menyelamatkan diri.

Ibunya, Maimunah Latif, 67, kemudian cuba mententeramkan anaknya, tetapi turut dibelasah dan mengalami kecederaan parah di kepala dan patah rahang.

Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Zul Aznam Haron, berkata lelaki itu kemudian mengusung ibunya keluar dari rumah dan mencampak mangsa di lereng cerun kira-kira 60 meter dari rumah mereka.

"Polis yang dimaklumkan mengenai kejadian itu oleh jiran mangsa bergegas ke tempat kejadian dan berjaya memberkas pemuda itu di rumahnya. Dia kelihatan tenang dan langsung tidak melawan ketika ditahan.

"Maimunah pula ditemui tersangkut pada anak-anak pokok di lereng cerun tidak lama kemudian dan dipercayai sudah meninggal dunia ketika itu," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tampin, di sini semalam.

Bujang dihantar ke Hospital Kuala Pilah (HKP) oleh jirannya untuk rawatan manakala mayat Maimunah dihantar ke Hospital Seremban (HS) untuk bedah siasat.

Zul Aznam berkata, polis menemui dua batang kayu berukuran kira-kira setengah meter, masing-masing di luar dan dalam rumah mangsa yang dipercayai digunakan untuk menyerang kedua-dua mangsa.

"Hasil bedah siasat mendapati punca kematian Maimunah kerana pendarahan teruk akibat kecederaan yang dialami. Jenazahnya sudah dituntut oleh waris untuk pengebumian," katanya.

Pemuda itu yang pernah dipenjarakan kerana kesalahan memiliki barang curi dan beberapa kali dimasukkan ke pusat pemulihan dadah ditahan reman sehingga 29 November ini untuk siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Petikan: Berita Harian 17 November 2005

0 Comments:

Post a Comment

<< Home