Thursday, October 27, 2005

Hero Yang Dilupakan

Hero Asia kini menganggur

Oleh NIEZAM ABDULLAH

KOTA BHARU 22 Okt. - Mohamad Hamid, 28, yang menjadi penyelamat dalam insiden rampasan kapal Nepline Delima oleh sekumpulan lanun di Langkawi pada 14 Jun lalu diiktiraf oleh majalah Time sebagai Hero Asia.

Majalah tersebut dalam keluaran 10 Oktober lalu turut menyiarkan rencana khas dengan tajuk `Mohamad Hamid Penentang Lanun'.

Tetapi Mohamad yang menganggap dirinya sebagai budak kampung dan kini menganggur, dengan rendah diri menyifatkan pengorbanannya itu sebagai sumbangan kecil dan tidak layak untuk digelar hero.

Ketika ditemui di rumahnya di Kampung Biah, Jalan Peroi di sini hari ini, beliau berkata, ramai lagi tokoh di negara ini yang lebih layak digelar sebagai hero.

``Majalah itu turut meletakkan saya setanding dengan pengasas akhbar harian Kemboja, Benard Krisher; pemain tenis India, Sania Mirza dan pemain bola sepak kelab Manchester United, Park Ji Sung,'' katanya.

Dalam kejadian 14 Jun lalu, kapal tangki Nepline Delima yang sarat dengan muatan diesel dirampas oleh 10 orang lanun bersenjata di perairan 25 batu nautika dari Langkawi ketika ia dalam pelayaran dari Singapura ke Myanmar.

Bagaimanapun keberanian Mohamad yang sanggup terjun dari kapal itu untuk memaklumkan peristiwa berkenaan kepada polis telah menyelamatkan nyawa 19 orang anak kapal berkenaan.

Mohamad berkata, berikutan pengiktirafan itu, majalah tersebut turut menjemputnya menghadiri satu majlis perjumpaan di Taiwan penghujung tahun ini.

Bagaimanapun katanya, tawaran itu terpaksa ditolak kerana dia tidak yakin untuk memberi ucapan di hadapan orang ramai selain memikirkan pengorbanannya itu hanyalah kecil.

``Memikirkan saya ini cuma budak kampung dan tidak gemar untuk menonjolkan diri adalah lebih baik saya menolak tawaran itu,'' katanya.

Sementara itu, Mohamad memberitahu, dia kini tidak mempunyai pekerjaan selepas menamatkan perkhidmatan dengan syarikat perkapalan itu beberapa minggu selepas kejadian berkenaan atas nasihat keluarga.

Bagaimanapun katanya, sejak dua bulan lalu kepalanya sering sakit terutamanya setiap kali dia melihat laut.

``Akibat penyakit tersebut, saya telah menemui doktor termasuk mendapatkan rawatan tradisional, namun sakit kepala saya itu masih tidak sembuh,'' katanya.

Petikan: Utusan Malaysia 23 Oktober 2005

0 Comments:

Post a Comment

<< Home