Friday, December 02, 2005

JJJ

Plat siri JJJ raih RM3.2 juta

Oleh Mohd. Fairuz Yusof

JOHOR BAHRU 1 Dis. - Plat pendaftaran kenderaan siri JJJ yang dikeluarkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Johor mencatat sejarah apabila mencapai kutipan hasil sebanyak RM3.2 juta.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Emran Kadir berkata, kutipan hasil tersebut merupakan nilai tertinggi diperoleh bagi plat abjad pendaftaran kenderaan yang ditender berbanding di negeri-negeri lain.

Menurut beliau, siri JJJ mendapat sambutan hebat sehinggakan JPJ terpaksa menangguhkan pendaftaran kenderaan bagi abjad itu kerana proses tender yang mengambil masa panjang untuk diselesaikan.

Beliau berkata, berikutan sambutan yang menggalakkan itu, JPJ negeri telah mengeluarkan abjad JJK bagi memastikan urusan pendaftaran kenderaan berjalan lancar.

``Bagi kategori pertama, 10 nombor dan siri JJJ yang ditender meraih kutipan sebanyak RM551,000 dan kebanyakan mereka yang memilih plat tersebut bukan sahaja dari Johor tetapi juga dari negeri-negeri lain.

``Saya pernah menjadi Pengarah JPJ Selangor sejak tahun 1991 dan ini merupakan kutipan paling tinggi dalam sejarah pendaftaran kenderaan bagi abjad itu,'' katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat pengarah-pengarah JPJ negeri di sini hari ini.

Plat JJJ yang dibuka pendaftarannya awal Oktober lalu mendapat sambutan hangat orang ramai kerana ia mempunyai maksud tersendiri.

Difahamkan masyarakat Tionghoa memilih abjad JJJ kerana ia membawa maksud duit.

Emran berkata, beliau sendiri sukar mempercayai tentang sambutan abjad tersebut kerana jumlah kutipan yang dibuat amat tinggi.

``Mungkin orang ramai mempunyai pendapat tersendiri untuk mendapatkan plat itu,'' katanya.

Mengenai jumlah kutipan bagi plat JJJ1, beliau enggan mendedahkannya kerana ia boleh menjejaskan keselamatan pemilik plat itu.

Petikan: Utusan Malaysia 2 Disember 2005

0 Comments:

Post a Comment

<< Home