Wednesday, November 23, 2005

Langkawi Dilanggar Todak!

Waspada sekitar perairan Langkawi banyak ikan todak

ALOR STAR 22 Nov. - Para nelayan dinasihatkan lebih berhati-hati ketika menangkap ikan terutamanya di sekitar perairan Langkawi dan pulau-pulau berdekatan dengan Taman Laut memandangkan ikan todak kini dilaporkan banyak terdapat di kawasan tersebut.

Pengarah Jabatan Perikanan negeri Kedah, Sani Mohd. Isa berkata, langkah itu penting kerana biarpun ikan itu tidak berbahaya, tetapi tabiatnya yang gemar melompat boleh membahayakan nelayan ketika berada di laut.

Menurutnya, musim ikan todak itu bergantung kepada arus air dan ketika ini iaitu pada bulan Oktober hingga Disember biasanya ia akan banyak terdapat di perairan utara.

Beliau berkata, ketika itu, air daripada Lautan Hindi bergerak ke utara menyebabkan banyak ikan todak mengikut arus ke utara.

``Tabiatnya yang boleh melompat itu memerlukan kita mengambil langkah berjaga-jaga kerana ada kalanya ia akan terkena pada diri kita,'' katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kejadian seorang nelayan Adnan Walid, 39, dari Kampung Tanjung Lembung, Klebang, Langkawi yang mati akibat ditusuk ikan todak ketika menangkap ikan di perairan pulau legenda itu semalam.

Selain itu, Sani memberitahu, kejadian tersebut bukanlah yang pertama di Kedah sebaliknya sebelum ini sudah terdapat kira-kira tiga kes melibatkan ikan todak.

Beliau menjelaskan, ikan yang menusuk Adnan merupakan jenis Marlin dan ia sebenarnya tidak berbahaya cuma tabiatnya yang melompat itu mendatangkan kecelakaan sekiranya tiada langkah berjaya-jaga dilakukan.

Dalam kejadian itu, nelayan terbabit ditusuk ikan todak yang melompat ke arahnya ketika dia menangkap ikan bersama seorang kawannya di Pulau Singa pada Sabtu lalu kira-kira pukul 12.30 tengah malam.

Isterinya, Mariah Abdullah, 34, memberitahu suaminya menarik sendiri ikan todak yang tertusuk di bahagian kelopak mata kanan suaminya, tetapi ketika ditarik, hujung muncung ikan tersebut yang sepanjang kira-kira 3 sentimeter tertinggal di bahagian yang ditusuk itu.

Adnan kemudiannya dikejarkan ke Hospital Langkawi pada kira-kira pukul 1 pagi sebelum dipindahkan ke Hospital Alor Star (HAS) pada pukul 7.30 pagi, bagaimanapun mangsa meninggal dunia di HAS pada pukul 4 petang.

Petikan: Utusan Malaysia 23 November 2005

0 Comments:

Post a Comment

<< Home