Friday, December 09, 2005

Adi Putra Abdul Ghani

19 November, 2005 23:39 PM

Kanak-Kanak Enam Tahun Genius Matematik

BAGAN SERAI, 19 Nov (Bernama) -- Adi Putra Abdul Ghani baru berusia enam tahun, tetapi dia mempunyai kepintaran luar biasa dalam matematik hingga berupaya menyelesaikan pelbagai permasalahan matematik malah adakalanya mencipta formula pintasnya sendiri.

Adi Putra yang belajar sendiri di rumah bersama ibu bapanya merupakan pakar dalam menyelesaikan soalan Algebra, Trigonometri dan Indeks dan kepintarannya itu menyebabkan beberapa guru dikatakan gemar merujuk kepadanya tentang formula tertentu menyelesaikan soalan matematik.

Dia merupakan anak ketiga daripada lima beradik kepada Abdul Ghani Abdul Wahid, seorang pegawai Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Seri Hana Ilias, guru Bahasa Inggeris.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Tenaga Manusia dan Multimedia Perak, Datuk Dr Zambry Abdul Kadir yang mendengar cerita mengenai Adi Putra, berkunjung ke rumah keluarga itu di Taman Permai Bagan Serai di sini hari Sabtu.

Beliau sempat menguji Adi Putra dengan beberapa soalan susah Matematik dan Algebra tetapi kesemuanya diselesaikan dengan begitu mudah.

Dr Zambry berjanji akan membantu mengembangkan kepintaran yang dimiliki kanak-kanak itu dan akan meminta Kementerian Pelajaran turut memberikan perhatian.

"Saya akan meminta Institut Mensa membuat ujian terhadap tahap IQ kanak-kanak ini bagi mengkaji tahap kecerdasan sebenarnya," katanya.

Bapa kanak-kanak genius ini, Abdul Ghani berkata kepintaran luar biasa Adi Putra dikesan sejak dia berusia lima tahun.

Ketika itu beliau dan isterinya mengajar matematik kepada kanak-kanak lain dan menyedari Adi Putra lebih faham dengan apa yang diajar dan mempratikkannya.

"Adi Putra budak biasa dan dia juga bermain-main dengan rakan-rakannya tetapi akan mengulangkaji pelajaran (bahan-bahan yang diajar ibunya di rumah) dari pukul 12 tengah malam hingga 4 pagi," katanya.

Abdul Ghani berkata beliau sudah menyediakan kemudahan internet untuk anaknya berkomunikasi dengan pelajar, termasuk penuntut universiti tempatan mengenai permasalahan Matematik.

Anaknya bercita-cita menjadi seorang profesor Matematik, katanya.

Ketika ditanya mengenai kebolehan adik beradik Adi Putra yang lain, Abdul Ghani berkata seorang adik Adi Putra boleh membaca sejak umur tiga tahun dan rahsia kecerdasan mereka ialah pendedahan mengenai nombor sejak mereka kecil lagi oleh mereka suami isteri.

-- BERNAMA

0 Comments:

Post a Comment

<< Home