Wednesday, December 21, 2005

M. Moorthy @ Mohammad Bin Abdullah?

Kecoh tuntut mayat pendaki Everest

Oleh Umavathi Ramayah dan Md. Zan Saari

KUALA LUMPUR 20 Dis. - Berita kematian pendaki Gunung Everest, Koperal M. Moorthy, 36, pagi ini, telah menimbulkan kekecohan apabila mayatnya menjadi rebutan antara keluarga dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi).

Ini kerana, Jawi mendakwa Moorthy telah memeluk agama Islam sejak 8 Mac lalu dengan menggunakan nama Mohammad Bin Abdullah.

Pada masa sama, keluarganya tetap mengatakan Moorthy masih beragama asal iaitu Hindu.

Moorthy meninggal dunia akibat penyakit cervical sick selepas terjatuh ketika latihan somersault di Kem Sungai Udang, Melaka pada 14 Ogos 1998.

Beliau kemudian lumpuh dan terpaksa menggunakan kerusi roda.

Moorthy kemudian terjatuh dari kerusi roda sebulan yang lalu, menyebabkan dia koma.

Ekoran kematiannya kira-kira pukul 11 pagi ini di Hospital Kuala Lumpur (HKL), berlaku kekecohan dalam urusan menuntut mayat.

Untuk menyelesaikan masalah tersebut, Jawi dan keluarga Moorthy bersetuju supaya perkara itu dibawa ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, esok.

Sebelum itu, suasana menjadi kecoh apabila lebih banyak pihak cuba menuntut mayat Moorthy untuk dikebumikan.

Ini termasuk tujuh pegawai Jawi yang mahu supaya mayat Moorthy dikebumikan mengikut hukum dan peraturan Islam.

Kekecohan itu turut menyebabkan pihak keluarga Moorthy, terutama ibunya, Saraswathy Rajoo, 62, tidak dapat menerima kenyataan tersebut.

``Saya memberi nama Moorthy kepadanya,'' jerit Saraswathy.

Sementara itu, peguam keluarga Moorthy, A. Sivanesan dari Firma Tetuan Sivanesan & Co. ketika ditemui di HKL berkata, pihaknya mendapat maklumat dan dokumen rasmi mengenai pengislaman Moorthy dari Jawi, menunjukkan anggota tentera itu memeluk Islam pada 8 Mac tahun ini dengan kerelaan sendiri.

Menurutnya, perkara tersebut telah dirahsiakan daripada pihak keluarga termasuklah isterinya, Kaliamal Sinasamy, 30, sehingga 1 Disember lalu.

``Apabila Moorthy dimasukkan ke HKL pada 11 November lalu, Jawi telah memaklumkan kepada Kaliamal mengenai pengislaman suaminya itu.

``Menurut Jawi, jika berlaku kematian, jenazah suaminya akan diuruskan mengikut cara Islam, `' katanya.

Difahamkan, Kaliamal bagaimanapun tidak memberitahu pengislaman suaminya kepada sesiapa.

Ketika ditemui, Kaliamal mengesahkan ada menerima panggilan telefon dari Jawi tetapi enggan mengulas lanjut.

Sivanesan menambah, kes tersebut akan difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur esok.

``Keputusan mungkin akan hanya diketahui dalam masa 48 jam.

``Seorang jurucakap Jawi yang hanya dikenali sebagai Azniza, juga tidak membantah mengenai perkara tersebut (dibawa ke mahkamah),'' kata Sivanesan.

Beliau menambah, sementara menunggu kes tersebut selesai, Ketua Jabatan Forensik HKL, Dr. Mohd. Shah Mahmood bersetuju mayat Moorthy disimpan di bilik mayat hospital tersebut.

Dalam pada itu, menurut salah seorang saudara terdekat Moorthy yang enggan namanya disiarkan, perkara tersebut telah dimaklumkan kepada Presiden Persatuan Hindu Sanggam, Datuk A. Vaithilingam untuk meminta bantuan beliau.

Difahamkan, Vaithilingam akan membawa perkara itu ke pengetahuan Presiden MIC, Datuk Seri S.Samy Vellu yang kini berada di Bosnia atas urusan rasmi kerajaan.

Sementara itu, seorang jurucakap Jawi berkata, pihaknya akan menyerahkan kes tersebut untuk keputusan mahkamah.

Katanya, Jawi akan mengemukakan dokumen yang ada sebagai bukti bahawa Moorthy telah memeluk agama Islam.

Dalam pada itu, pegawai atasan Moorthy, Kolonel Effendi Ab. Karim ketika ditemui di bilik mayat HKL berkata, pihaknya juga akan akur dengan keputusan mahkamah.

Menurutnya, kehadiran beliau di HKL bagi membantu urusan pengkebumian mayat Moorthy.

``Kita serahkan kepada mahkamah perkara ini,'' katanya.

Petikan: Utusan Malaysia 20 Disember 2005


Mahkamah perintah Moorthy dikebumi cara Islam

KUALA LUMPUR 22 Dis. - Mahkamah Tinggi Syariah di sini memerintahkan pihak yang menjaga jenazah pendaki Gunung Everest, Koperal M. Moorthy, 36, supaya menyerahkannya kepada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) untuk dikebumikan segera mengikut agama Islam dan hukum syarak.

Hakim syarie Mahyuddin Ibrahim memerintahkan demikian petang ini ketika membenarkan permohonan ex-parte (sebelah pihak) oleh MAIWP selepas memutuskan bahawa Moorthy atau Mohammad bin Abdullah adalah beragama Islam.

Beliau juga memerintahkan supaya mayat Moorthy hendaklah dikebumikan mengikut kehendak agama Islam dan hukum syarak.

``Polis Diraja Malaysia (PDRM) hendaklah memberi kerjasama bagi melaksanakan perintah ini,'' tegas Mahyuddin dalam alasan penghakiman ringkasnya.

Perintah itu dikeluarkan selepas beliau mendengar permohonan ex-parte MAIWP yang difailkan hari ini bagi mendapatkan perintah bahawa Moorthy adalah seorang Islam menurut Seksyen 91 Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993.

MAIWP diwakili dua peguam syarie yang dilantik daripada Persatuan Peguam Syarie Malaysia, Fakhrul Azman Abu Hasan dan Zainul Rijal Abu Bakar.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Dakwah MAIWP, Mahathir Mohd. Noor dan Penasihat Undang-Undang, Eidey El-Nimeiry Mokhtar hadir mewakili pemohon.

Mahyuddin berkata, perintah itu dibuat setelah beliau meneliti dan membaca afidavit sokongan Setiausaha MAIWP, Che Mat Che Ali yang diikrarkan pada hari ini dan dokumen-dokumen dikemukakan serta mendengar hujah peguam-peguam syarie.

Dalam kes ini, beliau berpuas hati dan berpendapat bahawa tidak menjadi pertikaian yang mahkamah itu mempunyai bidang kuasa untuk mendengar dan memutuskan permohonan-permohonan dan hujah oleh kedua-dua peguam syarie pemohon.

Fakhrul Azman dalam hujahnya sebelum itu menyatakan bahawa mengikut afidavit Che Mat, 54, Moorthy telah mengucap dua kalimah syahadah mengikut hukum syarak berdasarkan keterangan masuk Agama Islam dari pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bertarikh 8 Mac lalu.

Mengikut afidavit itu, katanya, MAIWP telah menerima permohonan daripada ATM bagi tujuan mendaftarkan kemasukan agama Islam Moorthy pada 14 Mei lalu selaras dengan Seksyen 91 akta tersebut.

Bagi tujuan pendaftaran itu juga, satu cap jari kanan Moorthy telah diambil.

Katanya, Moorthy juga masih dianggap sebagai seorang Islam kerana tidak ada mana-mana mahkamah syariah yang menyatakan bahawa dia telah keluar daripada agama tersebut.

Zainul pula berhujah bahawa selagi tiada bukti menunjukkan Moorthy cuba keluar daripada daftar orang Islam, mahkamah syariah mempunyai bidang kuasa untuk mendengar permohonan itu dan bukannya mahkamah sivil.

Moorthy meninggal dunia akibat penyakit cervical sick selepas terjatuh ketika latihan somersault di Kem Sungai Udang, Melaka pada 14 Ogos 1998.

Ekoran kejadian di kem tersebut, dia lumpuh dan terpaksa menggunakan kerusi roda.

Moorthy kemudian terjatuh dari kerusi roda sebulan lalu, menyebabkan dia koma sehinggalah menemui ajal.

Sementara itu, Hakim Mahkamah Tinggi Sivil, Datuk Abdul Malik Ishak menetapkan saman pemula balu Moorthy, S. Kaliammal, 30, disebut di Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas) pada 29 Disember ini.

Saman itu akan disebut di hadapan Hakim Datuk Md. Raus Sharif yang kini sedang bercuti.

Kaliammal antara lain memohon perintah injunksi melarang (JAWI) daripada mengambil atau menuntut mayat Moorthy dengan apa jua cara sekalipun daripada Pengarah Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Sementara itu, suasana di hadapan bilik mayat HKL sesak dengan ahli keluarga Moorthy dan wartawan yang ingin mengetahui perkembangan terkini kes tersebut.

Pada kira-kira pukul 11 pagi, sekumpulan anggota polis kelihatan berada di hadapan bilik mayat berkenaan untuk mengelak sebarang kejadian tidak diingini berlaku.

Beberapa pegawai JAWI turut kelihatan berlegar di hadapan bilik mayat tersebut.

Bagaimanapun mereka enggan memberi sebarang komen.

Petikan: Utusan Malaysia 23 Disember 2005




0 Comments:

Post a Comment

<< Home