Wednesday, July 19, 2006

Serban

Jangan pertikai sunah Nabi
Oleh Ustaz Ahmad Awang

MAHKAMAH Rayuan telah pun membuat keputusan menolak rayuan tiga pelajar yang dibuang sekolah kerana memakai serban.

Kita tidak berniat hendak mempertikaikan keputusan tersebut. Tetapi apa yang hendak dinyatakan di sini ialah tentang kenyataan bertulis yang dibuat oleh salah seorang hakim itu mengenai sunah Nabi adalah sesuatu yang cukup sensitif.

Gambaran yang diberikan itu bukan sahaja telah menjejaskan nama baik Nabi tetapi juga ajaran agama Islam itu sendiri. Kenyataan bahawa serban itu berasal daripada masyarakat Arab jahiliah dan bukan merupakan amalan nabi serta satu perkara yang besar adalah amat dikesali.

Kita hairan dan terkilan apa perlunya hakim mengaitkan cerita orang Arab Jahiliah dan Abu Jahal memakai serban dengan menolak rayuan yang dikemukan oleh tiga pelajar berkenaan.

Memakai serban tidak sekadar ada hubungan dengan sunah tetapi juga ada kaitan dengan hukum. Apabila sudah sentuh hukum syarak maka hakim sepatutnya memanggil pakar rujuk berkaitan bagi mengulas isu tersebut.

Ini lebih afdal dan adil daripada membuat kenyataan tanpa merujuk kepada keterangan yang diberikan oleh mereka yang lebih arif dalam bidang agama. Ini kerana sudah menjadi satu prosedur di mahkamah akan memanggil mereka yang pakar dalam bidang masing-masing sebagai rujukan mereka. Jangan pula hakim menjadi hakim dan pada masa yang sama menjadi pakar rujuk dalam bidang yang bukan menjadi kepakarannya.

Membuat kenyataan tanpa sandaran dan asas agama yang kuat boleh menimbulkan kekeliruan. Hal ini tidak semata-mata dalam perkara yang berkaitan dengan serban tetapi sunah-sunah Nabi yang lain.

Membandingkan siapakah yang lebih alim antara mereka yang naik dengan unta dan kapal terbang jelas mengandungi unsur mempersendakan Nabi. Begitu juga pada zaman Nabi, orang membina rumah dan masjid dengan tanah liat serta daun kurma dan mengosok gigi menggunakan sugi tidak harus dijadikan sebagai hujah penghakiman yang kuat.

Kita bersetuju bahawa dalam al-Quran dan hadis tidak disebut orang yang naik unta lebih alim. Tetapi kondisi tersebut harus dilihat dalam konteks pada zaman nabi. Malahan dalam kebanyakan situasi, apa yang digunakan pada zaman dahulu masih lagi relevan sehingga ke hari ini.

Apakah sesiapa yang berani menafikan bahawa rumah dan masjid yang ada kini bukan diperbuat daripada tanah liat. Tidakkah bata yang digunakan berasal daripada tanah liat. Simen juga berasal daripada tanah. Bahkan besi yang digunakan dalam pembinaan bangunan moden juga berasal daripada tanah.

Jadi, perbandingan yang digunakan oleh hakim tersebut jelas tidak tepat dan kena pada tempatnya. Tidak ramai mufti atau hampir tiada hakim Mahkamah Syariah memakai serban tidak boleh dijadikan sebagai hujah bahawa pemakaian serban bukan merupakan amalan yang digalakkan oleh Islam.

Hujah yang berlandaskan kepada fakta perundangan lebih sesuai digunakan daripada membuat hujah-hujah yang menyentuh sejarah. Hujah sejarah ini nampaknya juga telah digunakan oleh Menteri Pelajaran, Hishammuddin Tun Hussein untuk mempertahankan tindakan pihak sekolah.

Dalam satu kenyataan beliau menyatakan lega dengan keputusan mahkamah itu. Keputusan itu menunjukkan tindakan pihak sekolah adalah betul. Jadi, tidak timbul Kementerian Pendidikan menghalang pelajarnya memakai serban kerana ia bertentangan dengan peraturan yang sedia ada.

Kalau begitu, bagaimana pula dengan kedudukan pelajar-pelajar berketurunan Sikh yang memakai serban di sekolah. Kenapa dibolehkan pula? Kalau pelajar Sikh dibenarkan berbuat demikian kerana pemakaian serban ada kaitan dengan sejarah dan agama maka umat Islam juga mempunyai sejarah dan tuntutan agama yang berkaitan dengan pemakaian serban.

Dalam sejarah pendidikan di negara kita, pelajar-pelajar pondok sudah lama memakai serban dan pemakaian itu ada hubungan dengan agama. Dalam hal ini, kebenaran pakai serban diberikan kepada orang Sikh kerana kaitan dengan pegangan agama mereka.

Kenapa dalam isu ini, kita tidak pula menghormati agama orang Islam. Kita khuatir penolakan rayuan oleh mahkamah dan tindakan Kementerian Pelajaran (KP) akan mengundang lebih banyak pertikaian berhubung pakaian seragam yang dipakai di sekolah.

Kalau hujah sejarah hendak digunakan maka didapati tudung dan baju kurung bukan merupakan pakaian seragam yang disyaratkan oleh KP. Uniform yang diputuskan masih lagi skirt dan blaus. Hanya apabila ibu bapa sedar pemakaian uniform itu bercanggah dengan hukum syarak maka timbullah desakan supaya pelajar dibenarkan bertudung dan pakai baju kurung.

Kebenaran itu datang daripada pihak sekolah semata-mata dan bukannya peraturan yang disyarat atau diwajibkan oleh KP. Sebab itu di kalangan pelajar-pelajar Islam masih ada yang pakai tudung dan berbaju kurung dan ada yang tidak. Sejak akhir-akhir ini sudah ibu bapa yang mempertikaikan anaknya dipaksa pakai tudung dan baju kurung di sekolah. Uniform tudung dan baju kurung adalah pilihan ibu bapa.

Oleh itu, kita mendesak pihak KP supaya mewajibkan pemakaian tudung di kalangan pelajar-pelajar Islam kerana ia diwajibkan bagi orang Islam.

Manakala pemakaian serban pula adalah sunat. KP perlu meminda peraturan supaya uniform yang dipakai haruslah yang tutup aurat termasuk tudung khususnya kepada pelajar yang telah capai akil baligh.

Jangan ingat menteri sudah lega kerana ibu bapa dan masyarakat Islam tidak lega dengan keputusan mahkamah yang boleh memberikan implikasi negatif terhadap pemakaian tudung, baju kurung dan kain sarung di sekolah.

Pakaian tersebut bukan merupakan seragam yang ditetapkan oleh pihak kerajaan melainkan hanya merupakan pilihan sekolah semata-mata. Sekiranya ada yang membawa kes ke mahkamah ada kemungkinan pemakaian tudung dan baju kurung akan dibatalkan di sekolah.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home