Thursday, July 27, 2006

Zakat guna SMS

Terengganu perkenal bayaran zakat fitrah melalui SMS

KUALA TERENGGANU 26 Julai – Mulai tahun ini, umat Islam di Terengganu boleh membayar zakat fitrah menerusi telefon bimbit apabila kerajaan negeri memperkenalkan pembayaran zakat itu menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS).

Bagaimanapun, pengumuman Menteri Besar, Datuk Seri Idris Jusoh itu dikritik oleh para ulama.

Mufti Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria yang mengaku ‘tidak seronok’ dengan pendekatan baru itu berpendapat, kaedah sedia ada melalui amil yang dilantik kerajaan sudah memadai untuk menjalankan urusan itu.

Bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Profesor Datuk Dr. Mohd. Yusoff Hussain turut meminta kerajaan Terengganu mengkaji semula kesesuaian pembayaran zakat fitrah melalui SMS itu.

Idris semasa membuat pengumuman itu berkata, kaedah pembayaran itu akan menjadikan Terengganu negeri yang pertama di negara ini memperkenalkan sistem tersebut bagi memudahkan orang ramai menunaikan kewajipan mereka.

Beliau berkata pihaknya kini dalam peringkat akhir perbincangan dengan beberapa syarikat telekomunikasi bagi memperkenalkan perkhidmatan itu kepada orang ramai.

“Dengan cara ini, kita harap kutipan zakat (fitrah) akan bertambah dan ia juga akan memberi keselesaan kepada rakyat untuk membayar zakat. Kita akan perkenalkan perkhidmatan ini pada bulan Ramadan tahun ini,’’ katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco di sini hari ini.

Idris berkata, mereka yang menggunakan SMS untuk membayar zakat fitrah, jumlah kredit dalam kad prabayar mereka akan didebitkan.

Bagaimanapun, beliau berkata orang ramai masih mempunyai pilihan untuk menunaikan zakat fitrah melalui kaedah sedia ada iaitu menerusi amil yang dilantik kerajaan.

Dalam perkembangan lain, Idris berkata kerajaan negeri juga akan memperkenalkan pembayaran zakat seperti harta dan ternakan menerusi sistem e-zakat yang dicadangkan diadakan sebelum bulan Ramadan ini.

Beliau berkata penyediaan sistem itu kini di peringkat akhir dan satu taklimat penuh mengenai sistem itu akan diadakan pada pertengahan bulan depan.



Mufti Perak pertikai bayar zakat guna SMS

KUALA LUMPUR 26 Julai – Mufti Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria mempertikaikan tindakan Kerajaan Terengganu memperkenalkan pembayaran zakat fitrah menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) mulai tahun ini kerana dikhuatiri tidak sampai kepada Pusat Urus Zakat (PUZ).

Beliau yang mengaku ‘tidak seronok’ dengan pendekatan baru itu berpendapat, kaedah sedia ada melalui amil yang dilantik oleh kerajaan sudah memadai untuk menjalankan urusan kutipan zakat.

Harussani turut mempersoalkan sama ada pendekatan sedia ada menimbulkan masalah sehingga memerlukan Kerajaan Terengganu memperkenalkan kaedah SMS untuk menambah kutipan zakat.

“Kita kenal ke siapa yang membayar zakat atau kita tahu ke sama ada ia benar-benar diterima oleh PUZ?

“Zakat merupakan satu ibadah yang perlu ditunaikan dan cara yang kita amalkan selama ini sudah mencukupi,’’ ujar beliau ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.

Harussani mengulas kenyataan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Idris Jusoh hari ini bahawa mulai tahun ini negeri tersebut akan memperkenalkan sistem pembayaran zakat melalui SMS bagi memudahkan orang ramai menunaikan kewajipan mereka.

Beliau berkata, pihaknya kini dalam peringkat akhir perbincangan dengan beberapa syarikat telekomunikasi bagi memperkenalkan perkhidmatan itu kepada orang ramai.

Mengenai ketiadaan lafaz akad antara pembayar zakat dan amil jika SMS digunakan, Harussani berkata, ia bukan sesuatu yang penting kerana niat sahaja sudah mencukupi dan pembayaran zakat sah di sisi hukum syarak.

Sementara itu, bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Profesor Datuk Dr. Mohd. Yusoff Hussain meminta Kerajaan Terengganu mengkaji semula kesesuaian pembayaran zakat fitrah melalui SMS.

Beliau yang juga Rektor Kolej Islam Darul Ridzwan, Ipoh, Perak menjelaskan, ia dikhuatiri boleh menyebabkan syarikat telekomunikasi mengaut pembahagian hasil yang sepatutnya diperolehi oleh amil.

“Saya khuatir ‘amil sebenar’ adalah syarikat telekomunikasi bukan amil yang dilantik oleh Majlis Agama Islam negeri.

“Amil akan mendapat satu per lapan daripada hasil kutipan zakat tetapi jika ia disalurkan melalui syarikat telekomunikasi, adakah ini bermakna syarikat itu juga akan mendapat bahagian mereka?,’’ ujar beliau ketika dihubungi.

UM 27.07.2006

0 Comments:

Post a Comment

<< Home