Friday, November 10, 2006

‘Sang Saka Bangsa’

‘Sang Saka Bangsa’ nama bendera UMNO

Oleh FAIROL REDZA ISMAEL ALABAS

KUALA LUMPUR 9 Nov. - Bendera UMNO yang mencecah usia 60 tahun bakal dikenali dengan nama ‘Sang Saka Bangsa’.

Penolong Setiausaha Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Abdul Rahman Datuk Dahlan berkata, cadangan untuk menamakan bendera UMNO itu akan dikemukakan pada Perhimpunan Agung UMNO minggu depan.

Katanya, ‘Sang’ merupakan satu gelaran yang bersopan manakala ‘Saka’ bermaksud peninggalan sesuatu keturunan Melayu yang berkaitan dengan semangat dan ‘Bangsa’ membawa erti orang Melayu yang menjadi bangsa berdaulat.

‘‘Proses penamaan bendera ini telah mendapat komen yang positif daripada ramai orang, antaranya ialah Presiden Majlis Veteran UMNO, Datuk Tajudin Ali; Veteran UMNO Melaka, Tan Sri Aziz Stapa dan juga Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, Datuk Dr. Firdaus Abdullah.

‘‘Pemuda UMNO amat berharap agar cadangan tersebut akan dipersetujui dalam perhimpunan itu nanti,’’ katanya.

Beliau ditemui pemberita pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Pemuda UMNO, di sini hari ini.

Pada masa yang sama, Abdul Rahman membacakan kenyataan yang dikeluarkan oleh Aziz Stapa, sebagai memberi respons terhadap cadangan Pemuda mengenai pemberian nama bagi bendera parti tersebut.

‘‘Saya selaku seorang veteran UMNO dengan ini amat bersetuju dengan usul yang akan dibawa oleh Pergerakan Pemuda UMNO untuk menamakan bendera UMNO sebagai ‘Sang Saka Bangsa’.

‘‘Walaupun perkataan ‘Sang Saka’ terdapat pada nama bendera Indonesia iaitu ‘Sang Saka Merah Putih’, saya ingin memaklumkan kepada semua bahawa perkataan itu telah dipinjam daripada bahasa Melayu asli kita,’’ katanya dalam kenyataan itu.

UM 10.11.2006

1 Comments:

At 5:24 PM, Anonymous Anonymous said...

Erm.. Macam kenal je artikel ni? Hehe..!!

 

Post a Comment

<< Home