Wednesday, September 20, 2006

'single fighter'

Dua calon angkasawan tak dibenar kahwin

KUALA LUMPUR: Dua bakal angkasawan negara, Dr Sheikh Muszaphar Shukor dan Kapten Dr Faiz Khaleed, tidak dibenarkan berkahwin sehingga 2008 bagi memastikan mereka menumpukan perhatian sepenuhnya terhadap program itu.


Syarat itu terkandung dalam kontrak yang akan ditandatangani Dr Sheikh Muszaphar, 34, dan Dr Faiz, 26, sebelum ke Russia bagi menjalani latihan selama setahun pada 26 September ini.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Jamaludin Jarjis, berkata syarat dalam kontrak yang kini dalam peringkat akhir itu, juga menghendaki Dr Sheikh Muszaphar dan Dr Faiz komited terhadap latihan sebelum berlepas ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS).

“Mereka akan menjadi duta angkasa negara apabila pulang ke tanah air untuk berkongsi pengalaman dengan rakyat terutama pelajar dalam usaha menyemarakkan lagi minat terhadap kajian sains angkasa,” katanya selepas merasmikan Majlis Pelancaran kerjasama Celcom-Vodafone-‘The Power Of Three’ di sini, semalam.

Pada 4 September lalu, Dr Sheikh Muszaphar yang juga Pegawai Perubatan Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) serta Dr Faiz, doktor gigi Angkatan Tentera Malaysia (ATM), diumumkan sebagai dua calon terakhir angkasawan negara selepas menjalani ujian di Russia.

Pemilihan mereka diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, yang menganggapnya sebagai detik penting dalam sejarah Malaysia, sekali gus membuktikan keupayaan negara mengisi agenda nasional terutama bagi membangunkan bidang sains dan teknologi.

Dr Sheikh Muszaphar dan Dr Faiz akan mengikuti latihan akhir di Star City, Moscow, termasuk tiga bulan mempelajari bahasa Russia, selain kajian sains dalam beberapa bidang seperti bioteknologi dan perubatan.

Seorang daripada mereka akan terpilih menyertai misi angkasa lepas kerajaan Russia selama lapan hari bermula 2 September tahun depan.

Mengenai resolusi berhubung garis panduan kehidupan di angkasa mengikut perspektif Islam yang pertama dirangka golongan akademik, ulama dan saintis Islam awal tahun ini, Dr Jamaludin berkata, perkara itu masih dalam perbincangan bersama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Beliau berkata, garis panduan itu akan diumumkan sebelum angkasawan negara berlepas ke ISS pada 2 September 2007.

Katanya, rakyat Malaysia boleh mula mengikuti perkembangan terkini kedua bakal angkasawan negara itu dalam laman web kementerian yang mula beroperasi bulan depan.

“Selain maklumat terkini keadaan mereka dan latihan yang dilalui, orang ramai juga boleh menyaksikan tayangan video bagaimana bakal angkasawan kita menjalani latihan,” katanya.

FAKTA NOMBOR
Angkasawan negara

RM95j - Kos program angkasawan pertama negara
RM3.7j - Insurans nyawa bakal angkasawan negara

BH 20.09.2006

0 Comments:

Post a Comment

<< Home