Tuesday, September 12, 2006

Fadhilat Poligami

‘Poligami menjadikan saya lebih sihat’

UNAIZAH, Arab Saudi 10 Sept. – Mempunyai seorang isteri merupakan satu amalan biasa dalam masyarakat Islam. Berkahwin dua atau tiga mengundang masalah tetapi berkahwin empat dan hidup bahagia dengan pendapatan sederhana sebanyak RM3,797 (4,000 riyal) bukan sahaja jarang berlaku tetapi sukar dipercayai.

Abu Mahdi dari Unaizah di daerah Qasim, Arab Saudi menjelaskan rahsia kejayaannya berpoligami.

Menurut Abu, ia bukanlah tentang wang, tetapi lebih penting lagi, tentang rasa bersyukur dan berpuas hati dengan apa yang dikurniakan Tuhan.

Pada usia 62 tahun, Abu mempunyai empat isteri dan 25 anak, dengan jumlah keahlian keluarganya seramai 70 orang setelah mengambil kira bilangan cucu-cucunya.

Ditanya bagaimana dia menyara keluarganya yang besar dengan pendapatan yang sederhana, Abu menjawab dengan memetik satu peribahasa Arab: “Buka kaki mengikut lebar tilam anda.”

Abu berkahwin dengan isteri pertama pada usia 26 tahun. “Sebelum berkahwin, bakal isteri saya dan keluarganya berfikir dan berbincang secara mendalam tentang diri saya, asal usul dan keturunan saya,” katanya.

Sepuluh tahun kemudian, Abu berkahwin kali kedua, disusuli perkahwinan ketiga pada usia 41 tahun. Perkahwinannya keempat ialah dengan seorang gadis berusia 20 tahun ketika usianya 59 tahun.

“Sebagai penganut Islam, saya percaya setiap anak dilahirkan dengan takdirnya sendiri,” jelasnya kepada laman web Arab News.

Ditanya sebab berpoligami, Abu berkata, dia mahu ramai zuriat.

“Nabi Muhammad s.a.w. menggalakkan para pengikutnya mempunyai ramai anak,” kata Abu. “Lebih ramai anak dilahirkan, maka lebih ramailah umat Islam,” tambahnya.

Tanggapan

Abu menolak tanggapan amalan berpoligami hanyalah untuk mendapatkan kepuasan seks. “Soal seks tidak pernah timbul dalam perkahwinan saya,” jelas Abu.

“Saya dikurniakan isteri-isteri yang baik dan doktor-doktor berkata poligami telah menjadikan saya lebih sihat,” katanya.

Anak lelaki sulungnya, Mahdi yang berusia 31 tahun berkata, dia dan adik-beradiknya tidak membantah jika bapa mereka berhasrat untuk berkahwin lagi.

Abu berkata, berkahwin lebih daripada seorang mempunyai kelebihannya. “Berkahwin dengan seorang lagi wanita adalah umpama memakai jubah baru,” katanya sambil tersenyum.

Ditanya bagaimana dia mengatasi jurang perbezaan usia antara dirinya dengan isteri-isteri mudanya, Abu menjawab, caranya dengan memahami setiap mereka.

“Adalah amat penting bagi suami dan isterinya untuk mengetahui dan memahami apa yang merunsingkan dan mengganggu fikiran mereka bagi mengelakkan daripada menimbulkan sebarang masalah atau perselisihan faham,” tegasnya.

Menurut Abu, “terdapat dua jenis wanita iaitu wanita yang membuat kehidupan anda sentiasa ceria dan wanita yang menyusahkan hidup anda.”

Dia percaya kejujuran merupakan kunci kebahagian kehidupan berpoligami.

“Saya tidak pernah berbohong setiap kali saya melamar calon isteri baru saya. Saya berterus terang kepada keluarganya bahawa saya sudah berkahwin,” katanya.

Abu membahagikan masanya sama rata dengan tinggal secara bergilir-gilir di rumah keempat-empat isterinya itu. “Seminggu sekali, saya akan mengumpulkan kesemua isteri dan anak-anak saya dalam sebuah rumah,” katanya.

Abu berkata, dia sentiasa berhubung atau menemui kesemua anak lelaki dan perempuannya dari semasa ke semasa dalam usaha menjalinkan hubungan rapat dengan mereka. – Agensi

UM 11.09.2006

0 Comments:

Post a Comment

<< Home