Tuesday, August 15, 2006

Menghormati lagu kebangsaan

Oleh Samsor Junet (WARTAWAN UTUSAN)

MUNGKIN ramai tidak percaya bahawa lagu Negaraku yang melambangkan semangat patriotik, cita-cita, hasrat dan harapan bangsa sebenarnya sudah berusia lebih 100 tahun.

Mengikut sejarahnya, ia dipilih sebagai lagu kebangsaan setelah diadakan pertandingan bagi mencari lagu yang sesuai menjelang kemerdekaan pada 1957.

Bayangkan sebuah negara yang hendak menyambut kemerdekaan masih tidak memiliki lagu kebangsaan sendiri.

Atas inisiatif Bapa Kemerdekaan, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, beliau mengadakan pertandingan mencari lagu kebangsaan yang sesuai.

Pertandingan itu dibuka kepada semua.

Hasilnya sebanyak 514 buah lagu dari seluruh dunia telah dikumpul dan dinilai sama ada boleh dijadikan lagu kebangsaan atau tidak.

Namun kesemua lagu yang dinilai itu didapati tidak sesuai dengan cita rasa jawatankuasa pemilihan lagu kebangsaan ketika itu.

Kemudian, Tunku Abdul Rahman menjemput penggubah lagu terkenal dari seluruh dunia untuk mencipta lagu kebangsaan.

Empat penggubah terkenal mengadu nasib iaitu Benjamin Britten, Sir William Walton, Carlo Menotti dan Zubir Said.

Namun lagu-lagu ciptaan mereka tetap gagal menambat hati jawatankuasa pemilihan.

Almarhum Tunku Abdul Rahman kemudian meminta kesemua negeri di Tanah Melayu yang ketika itu sudah mempunyai lagu sendiri supaya menghantar lagu-lagu masing-masing untuk dinilai.

Akhirnya lagu kebesaran negeri Perak iaitu Terang Bulan yang sarat dengan kisahnya yang tersendiri, terpilih sebagai lagu kebangsaan sampai sekarang.

Lagu ini sebenarnya pernah berkumandang di bumi England sempena pertabalan Raja Edward VII pada 1901.

Sejak itu sampai sekarang, hanya sekali iaitu pada 1993 rentak lagu itu diubah kepada march. Kini rentaknya kembali kepada asal.

Menyingkap sejarah yang panjang itu, siapalah kita hendak mempertikaikan asal-usul lagu kebangsaan negara kita sendiri.

Sebenarnya mempertikaikan lagu Negaraku secara terbuka boleh dikatakan menghina lagu Negaraku.

Dulu ada dinyatakan bahawa mereka yang menghina lagu kebangsaan boleh didenda RM100 tetapi tidak pernah dilaksanakan.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home