Friday, August 11, 2006

Gangguan IBLIS!!

Pak Lah tak layan sikap macam iblis
Oleh Ahmad Ghazali Musa, Rosli Abd Jalil dan Sariha Mohd Ali

Jangan salah guna demokrasi untuk sebar fitnah


KUANTAN: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi (gambar) mengingatkan mereka yang tidak senang dengan dasar atau keputusan kerajaan supaya tidak menyalahgunakan amalan demokrasi dengan membuat kacau dan menabur fitnah.

Perdana Menteri, yang dalam lawatan kerja dua hari ke Pahang bermula semalam menegaskan, beliau tidak akan melayan pihak tertentu yang bersikap seperti ‘iblis’ yang berasakan ia lebih pandai daripada orang lain.

Beliau berkata, amalan seperti tegur menegur dan memberi pandangan bagi memperbaiki pelaksanaan sesuatu program memang mesti diteruskan kerana cara itu dapat mengukuhkan muafakat dan kerjasama antara pemimpin dan rakyat.

“Tetapi jangan sesekali menggunakan pendekatan yang boleh merosakkan perpaduan... yang akan merosakkan muafakat dan kerjasama. Ini tak boleh dan pantang sekali dilakukan.

“Tegur boleh tegur (seperti) dalam amalan kita bermuhasabah secara kumpulan, dalam bermesyuarat, itulah cara terbaik kita. Tetapi kata mengata, tabur fitnah, dengki dan sakit hati, sengaja nak buat kacau, ini tak baik dan tak patut dilakukan sesiapa pun,” katanya.

Abdullah berucap pada majlis sambutan sempena lawatannya yang dihadiri lebih 5,000 rakyat di dewan tertutup Sukpa di sini. Hadir sama ialah Timbalan Perdana Menteri; Datuk Seri Najib Razak, Menteri Besar; Datuk Seri Adnan Yaakob, Menteri Pengangkutan; Datuk Seri Chan Kong Choy serta Menteri Sains Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Jamaluddin Jarjis.

Perdana Menteri berkata, beliau tidak akan membenarkan sesuatu berlaku hingga mengancam Umno kerana kekuatan parti penting bagi mengukuhkan kerajaan, terutama dalam keadaan dunia sekarang, seperti serangan Israel ke atas Lubnan dan kenaikan harga minyak yang menyebabkan ekonomi global tidak menentu.

“Walau apa berlaku, kita mesti sedia menghadapinya dengan kekuatan, keupayaan dan keazaman untuk terus memelihara keadaan di sini dengan tidak membuat angkara sesama kita, jangan jadi perosak kekuatan kita, jangan buat ancaman sesama kita, sebaliknya perlu hargai perpaduan yang ada pada parti kita ini.

“Kita ada tugas amat besar di hadapan kita yang memerlukan kekuatan kita, perhatian sepenuhnya untuk jayakan Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) dengan cara kita. Ini janji kita... kita bukan nak membohong rakyat.

“Bukan tabiat saya nak membohong atau bercakap tak sepenuhnya, bukan tabiat saya nak kelirukan rakyat. Apa yang saya mahu hanya jelas, jelas dan jelas saja supaya senang difahami rakyat,” katanya.

Dalam perjumpaan dengan lebih 1,000 kakitangan awam Pahang di Dewan Jubli Perak pula, Abdullah berkata lebih 800 projek yang dirancang dalam RMK-9 sudah mula digerakkan.

“Malangnya ada pihak cuba mengganggu, macam gangguan iblis, yang mengganggu kita sepanjang masa. Kita kena hadapi suasana ini dengan tenang dengan melaksanakan projek RMK-9 secara berkesan dan menggunakan segala kecekapan yang ada.

“Saya tidak akan membuang masa dan menghabiskan tenaga melayan gangguan yang tidak mendatangkan manfaat kerana ia akan hanya merugikan rakyat,” katanya.

Perdana Menteri berkata, beliau dan anggota kerajaan di bawah pimpinannya tidak akan sama sekali tergugat dengan gangguan yang cuba menjatuhkan imej dan reputasi kerajaan.

“Kita tidak akan kecewa dengan tindakan pihak berkenaan, malah akan terus berusaha melaksanakan projek yang sudah dirancang untuk faedah rakyat.

“Tiada niat lain dalam hati saya. Saya sudah bergerak sejauh ini dan akan menggunakan kuasa saya meletakkan kepentingan rakyat daripada segala-galanya,” katanya.

Perdana Menteri turut menegaskan projek yang dilaksanakan di bawah RMK-9 tidak sama sekali dipengaruhi atau dimanipulasi oleh mana-mana individu yang berkepentingan.

BH 11.8.2006

0 Comments:

Post a Comment

<< Home