Friday, August 04, 2006

Mahathir vs Abdullah

Mahathir vs Abdullah, jalan perdamaian yang semakin buntu
Oleh Mohd Rashidi Hassan, Pengarang Harakahdaily
Fasa kedua pertembungan bekas Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad dengan penggantinya Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi telahpun bermula. Kota Bharu menjadi saksi kepada pertembungan lebih sengit.

Loceng dibunyikan, pertembungan ini dijangka lebih sengit dari pusingan pertama. Mahathir sudah tidak mampu berselindung lagi. Dia benar-benar menyerlahkan taringnya. Ibarat kata orang Mahathir seperti harimau lapar yang terlepas dari kandangnya, sedia untuk membaham mangsa.
Selepas meletakkan jawatan, lebih dua tahun Mahathir terbelenggu dalam 'kandang' politik Umno yang diterajuinya lebih 22 tahun. Tempoh itu ternyata amat menyeksakan.
Mahathir terseksa kerana dituduhkan menghabiskan wang negara untuk projek mega. Mahathir terseksa kerana kawan-kawan dan anak buah yang sering mencium tangannya, merintih menunggu berjam-jam untuk berjumpa dengannya (semasa menjadi PM) kini semuanya sudah hilang.
Mahathir semakin terseksa melihat menantu Abdullah, Khairy Jamaludin dan kroni-kroninya begitu rancak mengagihkan kekayaan negara, sebagaimana yang didakwanya. Mahathir juga semakin bimbang bekas timbalan yang dianiaya lapan tahun lalu, Dato' Seri Anwar Ibrahim, diberi ruang untuk kembali ke gelanggang politik.
Semua kebimbangan ini menjadi belengu yang sudah tidak mampu dibendungnya.
Jika di Kelab Century Paradise, Taman Melawati 24 Jun lepas, Mahathir masih menapis setiap serangannya. Mahathir mengelak menyebut nama individu yang dimaksudkan, Mahathir juga menepis soalan bertalu-alu wartawan tentang syarikat mana yang didakwa mendapat laba pemerintahan Abdullah dengan cara yang menyalahi etika.
Tetapi tidak di Kota Bharu, 28 Julai lalu. Ternyata beliau sudah sedia untuk membuka gelanggang pertembungan yang lebih luas dan sengit. Apabila Mahathir berani membuat kenyataan lebih keras,khususnya menyerang lebih keras Abdullah Ahmad Badawi sudah tentu beliau bersedia menghadapi sebarang risiko.
Langkah Mahathir semakin nekad, 'do or die'! Jelas sama ada Mahathir mampu menyekat Abdullah untuk satu penggal sahaja atau beliau terpaksa 'mati meroyan' seorang diri.
Malang nasib MahathirApalah malangnya Mahathir, belumpun sempat membuka mulut disambut dengan semburan gas pemedih mata sebaik tiba di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa Jumaat lepas.
Gas pemedih mata bukan serbuk lada atau 'pepper spray' sebagaimana dilapor oleh media yang sengaja hendak memutarbelitkan fakta. Bak kata orang, kalau sudah biasa menipu, fakta sebegitu jelas pun diselewengkan.
Cecair yang menghasilkan gas pemedih mata disembut tepat ke muka beliau menyebabkan beliau yang sedang berdiri memegang loud hailer terduduk dan alat pembesar suara terlepas dari gengamannya.
Namun ternyata Mahathir yang berusia 81 tahun lebih tegap daripada Dato' Ibrahim Ali (50-an). Mahathir hanya sekadar yang terpaksa dipapah manakala Ibrahim seperti orang 'pening lalat' lima minit selepas itu baru berasa lega.
Di Hotel Renaissance selepas terkena semburan gas pemedih mata, Mahathir mengakui beliau rasa sesak, pedih tekak dan hidung. Itupun hanya mild spray, bayangkan kalau meriam FRU yang menembak cecair mengandungi asid pemedih yang lebih kuat daripada itu? Barangkali dalam usia yang sebegitu, Mahathir sudah boleh dijadikan sejarah.
Mahathir ternyata amat marah. Beliau tidak sangka diperlakukan sedemikian rupa. Katanya, itu adalah tindakan manusia desprate menghalangnya daripada berucap.
Pada waktu itu barangkali Mahathir lupa bahawa sewaktu pemerintahannya berapa banyak rakyat yang suffer dengan semburan asid FRU? Sebelum 1998, pemimpin PAS beberapa kali ditembak cecair pemedih sewaktu berdemonstrasi di hadapan Kedutaan Amerika Syarikat dan Universiti Malaya kerana membantah lawatan team kriket Israel.
Pendukung reformasi turut mengalami nasib yang sama ketika bangkit menentang kezaliman Mahathir terhadap Anwar.
Ada yang pengsan, ada yang terpaksa masuk hospital, ada yang dipukul dengan cotar sehingga berdarah, ada yang dipenjara dan dihukum.
Rakyat tidak pernah lupakan kezaliman Mahathir sewaktu pemerintahannya. Maka reaksi spontan rakyat (yang pernah merasai tembakan gas atau cecair asid) terhadap insiden tersebut adalah 'padan muka hang', 'la baru hang rasa'.
Semasa Mahathir berkuasa semburan pemedih mata dihalakan kepada pembangkang, malangnya selepas tiada kuasa, di zaman parti dan orang-orangnya pernah menyanjunginya memerintah, Mahathir pula disembur pemedih mata, ini lebih menambah kesengsaraan Mahathir.
Namun kematangan politik harus mengatasi segala-galanya, bagi pemimpin PAS walaupun pernah dizalimi sedemikian rupa, sesiapapun sama ada pemimpin atau rakyat, tidak harus diperlakukan sedemikian rupa.
Siapa punya kerjaInsiden di Kota Bharu mencetuskan pelbagai spekulasi. Media meletakkan ianya berpunca daripada perebutan dua kumpulan antara Ibrahim Ali dan Nik Sapeia Nik Yusof.
Malaysiakini dalam news flashnya pula seolah-olahnya membayangnya kelihatan lelaki seperti memakai jaket polis terbabit. Hari ini Polis Kelantan memfailkan laporan terhadap Malaysiakini yang didakwa mencemarkan imej mereka.
Perbalahan dan perebutan siapa yang hendak membawa Mahathir sebaik turun di Kota Bharu memang wujud. Penulis sendiri ketika berbual dengan Tan Sri Abdullah Ahmad (Dollah Kok Lanas), datang Nik Sapeia yang kelihatan serius mendakwa beliau diamanahkan mengambil Mahathir.
Selepas beberapa ketika berlaku perundingan antara Nik Sapeia dan Ibrahim di bilik menunggu airport. Suasana kelihatannya agak tegang dapat dikawal selepas kedua-dua pihak difahamkan sudah bersetuju Mahathir akan terus ke Pajero yang disediakan Ibrahim, untuk berucap dan dibawa keluar menaiki Mercedes Benz disediakan oleh Nik Sapeia.
Semua orang tahu betapa ramainya SB di airport ketika itu. Ramai orang lihat beberapa lelaki berbadan tegap berpakaian jaket (ala pegawai keselamatan) mundar mandir di sekitar airport.
Soal siapa yang sembur biarlah siasatan menentukan. Semburan pemedih mata terhadap Mahathir adalah unsur sabotaj. Ianya dilakukan sama ada orang yang diupah atau orang terlatih yang membawa alat semburan kecil itu dengan motif yang tertentu. Tidak sebab ada orang awam membawa alat penyembur itu merata-mata.
Cuma riak-riak rakyat di Kelantan bimbang ianya ada unsur sabotaj yang didalangi pemimpin Umno negeri.
Pertembungan dalam gelanggang UmnoSebelum program membabitkan Mahathir dijadualkan berlangsung. Politik Kelantan rupanya kecoh.
Dollah Kok Lanas memceritakan beliau mendapat maklumat ada panggilan dari Perth, Australia kira-kira 3 minggu lepas kepada Dato' Annuar Musa menggesa program dibatalkan.
Mubarak sudah terkeluar dari senarai. Mereka yang menjemput Mahathir berbulan-bulan sebelum pertelingkahan wujud, begitu takut dengan tekanan.
Dollah Kok Lanas dan Ibrahim Ali mengambil alih tugas mengendalikan program Mahathir.
Mahathir juga akui begitu banyak desas desus mengatakan beliau tidak jadi hadir dan program dibatalkan.
Di sekitar Kota Bharu, pihak tertentu menaikkan kain pemidang menggambarkan PAS mengalu-alukan kehadiran Mahathir. Usaha mengaitkan PAS dengan Mahathir dibuat oleh golongan yang dikatakan pro Umno.
Mahathir ketika ditanya wartawan menyatakan dengan jelas pertembungan dengan Abdullah hanyalah Umno affair, dalam gelanggang Umno, tidak ada kena mengena dengan PAS serta menolak kemungkinan kerjasama dengan Anwar.
Mahathir juga nampaknya tidak tahan dengan mainan media menghentamnya dengan PAS. Ramai juga yang terikut-ikut mempercayai mainan media sedangkan kerjasama antara kedua-dua pihak tidak pernah wujud.
Pemimpin PAS bijak mencatur. Mereka tidak menyambut Mahathir di airport. Pemimpin PAS
juga tidak hadir di Hotel Renaissance kerana itu anjuran veteran Umno, pemimpin PAS tidak hadir di syarahan Mahathir di Hotel Perdana kerana ianya majlis anjuran Alumni Ahli Parlimen dan Dun Umno.
Pemimpin PAS khususnya Menteri Besar, Tuan Guru Nik Abdul Aziz, timbalannya Dato' Ahmad Yaakub, Speaker, Dato' Wan Abdul Rahim Wan Abdullah dan para anggota Exco hanya menghadiri majlis makan makan anjuran Majlis Tindakan Rakyat Kelantan (MTRK) sahaja.

Isu-isu besar MahathirMahathir bertegas beliau hanya boleh berdamai jika Abdullah sedia mengetepikan Khairy Jamaludin, Kalimullah Hassan (NST, ECM Libra), Brendan Pereira (NST) serta pegawai di tingkat 4 JPM dan meneruskan pembinaan jambatan bengkok.
Bagi Mahathir mereka adalah agen Singapura. Bagi Mahathir, semua mereka ini adalah penyebab kepada kemarahan rakyat kepada kepimpinan Abdullah Ahmad Badawi.
Banyak juga desas desus bertiup sekarang ini bahawa Khairy akan diminta mengundur diri ke kuar negeri. Kalimullah juga harus pergi. Brendan juga sudah tiada pilihan. Mereka boleh kekal, tapi mereka harus sedar bahawa nama mereka sudah diratib oleh berjuta-juta rakyat Malaysia dengan persepsi yang buruk.
Sudah tentu demand Mahathir amat sukar untuk ditunaikan sepenuhnya oleh Abdullah. Mahathir sudah terbuka mempertikaikan pemberian Avenue Asset milik kerajaan kepada ECM Libra. Kata Mahathir, mana boleh Menteri Kewangan (Abdullah) bagi syarikat tersebut kepada menantunya (Khairy).
Mahathir juga mempertikaikan bagaimana Scomi (milik anak Abdullah, Kamaludin) boleh mendapat banyak projek kerajaan.
Orang-orang Umno percaya cakap Mahathir. Kata mereka seawal pemerintahan Mahathir, anak beranaknya tidak mendapat apa-apa, cuma towards the end pemerintahannya sahaja, anak-anak beliau terlibat banyak dalam perniagaan yang membabitkan kerajaan.
Berlain dengan cara Abdullah, baru tiga tahun, anak menantunya sudah mendapat laba yang begitu besar. Orang-orang Umno pun tidak setuju, mereka terkilan dengan kerakusan anak menantu Abdullah serta kroni.
Tetapi nak buat macam mana kuasa PM terlalu besar. Kalau lawan nanti hilang jawatan, hilang tender, tidak terpilih bertanding dan sebagainya. Sebab bagi mereka kuasa, pangkat dan harta amat penting untuk terus hidup.
Hanya ahli Umno yang benar-benar sedia untuk 'disembelih' sahaja sanggup mengangkat muka menyebelahi Mahathir.
Jelasnya, yang gawat dengan serangan Mahathir adalah orang-orang Umno. Mereka pening dan kucar. Mereka percaya cakap Mahathir tetapi takut dengan kuasa yang ada pada Abdullah.
Jalan damai sudah semakin buntu. Orang-orang Umno sudah pening kepada. Mereka tiada pilihan. Sama ada Mahathir harus berhenti atau Abdullah dihadkan sepenggal sahaja!

0 Comments:

Post a Comment

<< Home