Wednesday, August 16, 2006

Kuasa Air vs Minyak

Saintis Melayu bangunkan SUV, pikap kuasa air
Oleh Khirul Bahri Basaruddin, Abdul Razak Raaff, Mohd Zin Ali dan Johan Afandi

JOHOR BAHRU: Saintis Melayu berjaya membangunkan kenderaan utiliti sport (SUV) dan pikap LMG menggunakan air sebagai bahan bakar tambahan bagi membantu menjimatkan penggunaan petrol sehingga 50 peratus.


Pikap dari model Trekker dan SUV Tourer LMG itu, yang dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, semalam mempunyai tangki minyak dan air yang digunakan sebagai bahan bakar.

Menerusi teknologi baru itu, air akan melalui proses pembahagian kepada hidrogen dan oksigen.

Kedua-dua gas itu kemudian akan bercampur dengan petrol atau diesel untuk membolehkan berlaku pembakaran dan memberi kuasa kepada kenderaan berkenaan.

Abdullah, selepas melancarkan kenderaan LMG keluaran LM Star Autoworld Sdn Bhd itu, berkata beliau bangga dengan kemampuan saintis tempatan membangun dan mereka bentuk semula kenderaan dari China itu, menggunakan teknologi hidroxene.

Pada pandangan saya, peristiwa ini akan memberikan implikasi jangka panjang yang penting kepada industri domestik bagi menaikkan paras aktiviti nilai tambah,katanya.

Turut hadir ialah Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif LM Star, Abdul Uzza Shikh Mohamed serta Dr Halim Ali yang membangunkan teknologi hidroxene. LM Star yang berpangkalan di sini, 100 peratus dimiliki Bumiputera.

Perdana Menteri yang sebelum ini sudah memandu uji sebuah SUV Tourer tujuh tempat duduk, menyarankan pemasang dan pengeluar tempatan lain mencontohi pendekatan LM Star yang menggunakan teknologi baru dalam keluaran kereta mereka.

Katanya, pengeluar memerlukan idea baru mencari bahan api alternatif kerana harga minyak yang tinggi serta kebimbangan mengenai pencemaran alam sekitar akibat penggantungan berterusan ke atas bahan bakar fosil.

�Perkembangan ini menyokong usaha kerajaan untuk mengurangkan penggantungan ke atas sumber tenaga yang kian kurang dalam tempoh jangka panjang. Kerajaan sudah menggariskan keperluan untuk menggalakkan penggunaan dan pembangunan sumber tenaga yang mampan serta boleh diperbaharui.

�Oleh itu, menjadi hasrat saya untuk melihat pelaksanaan usaha lain untuk membangunkan kenderaan yang menggunakan sumber tenaga alternatif dalam jangka panjang, katanya.

Abdullah juga menyambut baik hubungan LM Star dengan Dadi Auto dari China pengeluar kereta yang mengkhusus dalam pengeluaran kenderaan ketenteraan, kerana negara itu sudah lama menjadi rakan dagangan yang penting.

Katanya, sudah sampai masanya syarikat tempatan memulakan usaha sama di seberang laut kerana Malaysia secara relatifnya adalah sebuah pasaran kecil berbanding pasaran dunia.

Kerajaan bersedia menyokong dan menggalakkan usaha untuk maju ke hadapan seperti yang kita saksikan hari ini, saya akan mengikuti perkembangan LM Star dan kenderaan barunya dengan penuh minat, katanya.

BH 16.08.2006

0 Comments:

Post a Comment

<< Home