Wednesday, September 20, 2006

Diari Warga Kota...

Anak membesar dalam kereta elak jalan sesak

KUALA LUMPUR 19 Sept. – Warga kota kini semakin gawat sehinggakan kereta adalah rumah kedua dan ada antara anak-anak membesar di dalamnya gara-gara keluar terlalu awal pagi bagi mengelak jalan sesak dan tiba di pejabat dan sekolah mengikut waktu.

Utusan Malaysia mendekati golongan itu untuk mengupas secara lebih terperinci dilema warga kota yang mencari rezeki di bandar kosmopolitan ini.

Tragedi yang menimpa pegawai kanan Commerce International Merchant Bankers Berhad (CIMB), Nor Hailini Yahya, 45, semalam menceritakan realiti tekanan kehidupan di ibu kota - ke pejabat awal pagi. Beliau maut apabila keretanya terhumban 25 meter di ruang letak kereta berhampiran pejabat, selepas tertidur seketika - kelaziman biasa datang awal untuk elak kesesakan.

*Kes 1

Kakitangan kerajaan, Hajariah Abu Kasim, 45, berkata, setiap pagi beliau bangun seawal pukul 5.30 pagi untuk ke pejabatnya di Jalan Duta.

Beliau yang tinggal di Sungai Buloh berkata, perkara tersebut dilakukannya sejak 23 tahun lalu dan berterusan sehingga sekarang.

‘‘Boleh saya katakan anak-anak saya juga membesar dalam kereta dan di sekolah kerana mereka belajar di sekolah yang jauh dari rumah dan perlu bangun awal pagi setiap hari untuk ke sekolah bersama saya.

“Memang kasihan apabila memikirkan keadaan mereka yang terpaksa berbuat begitu dan berada di sekolah sehari suntuk. Tetapi itu adalah cara terbaik bagi memastikan mereka sentiasa dekat dengan kita,’’ jelasnya.

Tambah Hajariah, bagi memastikan anak-anaknya selesa sepanjang berada di sekolah, beliau akan menyediakan beberapa persalinan pakaian untuk bersukan dan kelas petang.

Katanya, walaupun beliau dan suami mampu untuk menggaji pembantu rumah tetapi mereka enggan berbuat demikian kerana kurang yakin dengan orang luar.

Ujarnya, semua pihak perlu menerima hakikat bahawa kesesakan jalan raya adalah sebahagian daripada watak yang akan terus mewarnai kehidupan di Kuala Lumpur.

*Kes 2

Seorang lagi kakitangan kerajaan, Sabariah Mohamed, 37, memberitahu peningkatan bilangan kereta di ibu kota menjadikan kesesakan jalan raya bertambah teruk.

Beliau bagaimanapun tidak menyalahkan keadaan itu kerana menyedari kereta adalah satu keperluan dan mampu dimiliki setiap orang.

‘‘Walaupun tempat kerja saya tidak jauh dari pejabat, saya akan memastikan kerja rumah saya selesai selewat-lewatnya pukul 6.45 pagi.

‘‘Sekiranya lewat 10 minit, saya harus bersedia menghadapi kesesakan jalan raya di Jalan Kuching,’’ katanya yang tinggal di Selayang.

Ibu kepada tiga anak ini mengakui hanya kesabaran yang menebal sahaja dapat membantu dirinya menghadapi keadaan tersebut.

*Kes 3

Zunaida Mydin, 38, pula, memilih menggunakan motosikal ke tempat kerja.

Menariknya, Zunaida juga menggunakan kereta tetapi hanya untuk menghantar anak-anaknya ke sekolah.

‘‘Selepas hantar anak ke sekolah, saya dan suami akan ke rumah rakan di Sentul untuk mengambil motosikal dan terus ke tempat kerja.

‘‘Dengan cara ini saya rasa akan dapat mengelakkan kesesakan jalan raya dan boleh lebih awal ke sekolah,’’ ujarnya.

Biarpun begitu, dia yang tinggal di Segambut tetap perlu bangun seawal pukul 5.30 pagi kerana mahu menguruskan persekolahan anak-anaknya.

Sekiranya hari hujan, Zunaida tiada pilihan lain dan terpaksa menggunakan kereta yang pastinya berdepan dengan kesesakan jalan raya.

Tambahnya, pembukaan banyak jalan raya baru masih gagal menyelesaikan masalah kesesakan yang telah lama menghantui penduduk Kuala Lumpur.

*Kes 4

Kakitangan swasta, Hamdan Samion, 35, berkata, bangun seawal 6 pagi adalah perkara biasa bagi dirinya sejak mula bekerja.

Ini kerana katanya, dia mahu sampai awal dan mendapatkan tempat letak kereta yang terdekat dengan pejabatnya.

‘‘Selesai hantar anak, saya terus bergegas ke pejabat untuk dapatkan tempat letak kereta paling dekat dengan pejabat.

‘‘Biasanya saya letak kereta di tepi jalan dan selalu kena saman dengan penguatkuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

‘‘Setiap kali mereka (penguatkuasa DBKL) datang, pasti saya akan terima surat saman,’’ katanya.

Biarpun begitu, Hamdan tidak pernah serik kerana tempat letak kereta yang disediakan DBKL tidak mencukupi.

‘‘Walaupun mereka ada buka tempat letak kereta yang baru beberapa bulan lalu, keadaan di sini masih sama,’’ katanya sambil membelek surat saman yang ditinggalkan pada bilah pengelap keretanya.

UM - 20.09.2006

0 Comments:

Post a Comment

<< Home