Thursday, September 21, 2006

Sayonara Thak"SIN"!

Thaksin hadapi tuduhan jenayah

Sondhi ketua Majlis Pembaharuan Pentadbiran

BANGKOK: Panglima Tentera Darat, Jeneral Sondhi Boonyaratglin yang mengetuai rampasan kuasa di Thailand memberi amaran, Thaksin Shinawatra akan didakwa atas tuduhan jenayah jika bekas Perdana Menteri itu pulang ke Bangkok.

Thaksin pula, yang menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York, berlepas dengan pesawat sewa khas Russia ke London semalam untuk menyertai keluarganya dan dilaporkan menimbang untuk hidup dalam buangan di Britain.

Dalam pada itu, Raja Thailand, Raja Bhumibol Adulyadej semalam menyokong pelantikan Sondhi sebagai ketua Majlis Pembaharuan Pentadbiran baru.

“Bagi mewujudkan keamanan negara, raja melantik Jeneral Sondhi sebagai ketua majlis yang akan membawa pembaharuan pentadbiran,” menurut pengumuman yang disiarkan televisyen kerajaan semalam.

“Semua rakyat perlu menjaga keamanan dan kakitangan awam harus mengikut arahan Jeneral Sondhi.”

Sondhi, dalam taklimat pertamanya sehari selepas menggulingkan kerajaan berkata sebagai warga Thailand, Thaksin berhak pulang ke Bangkok.

Bagaimanapun, pemimpin Islam pertama dilantik mengetuai angkatan tentera darat Thailand itu menegaskan, Perdana Menteri yang digulingkan didakwa melakukan pelbagai salah laku dan rasuah, mungkin menghadapi tuduhan jenayah.

“Sebarang pendakwaan akan dilakukan menurut undang-undang dan bergantung kepada bukti,” kata Sondhi, muncul buat pertama kali dalam siaran televisyen negara itu pagi semalam bagi mengesahkan rampasan kuasa yang diketuainya.

Beliau yang diapit panglima tentera laut dan udara menjelaskan, rampasan kuasa itu dilancarkan ekoran pentadbiran Thaksin yang lemah dan membahayakan negara. Thaksin juga didakwa memecah belah negara, menghina raja dan mengendalikan kerajaan yang rasuah.

Ditanya sama ada harta bekas Perdana Menteri itu akan dirampas, Sondhi yang sebelum ini dipilih Thaksin untuk mengetuai tentera darat, berkata mereka yang bersalah perlu dipertanggungjawabkan.

Sondhi yang juga rapat dengan istana berkata, beliau akan menjadi perdana menteri selama dua minggu sehingga seorang pemimpin baru yang bebas dan cintakan demokrasi dipilih.

“Saya yang memutuskan untuk melakukan rampasan kuasa. Tiada yang menyokong saya,” katanya merujuk kepada Raja Bhumibol Adulyadej ketika rakyat mengesyaki raja berperlembagaan Thailand itu terbabit dalam gerakan menggulingkan Thaksin.

Lewat malam kelmarin, tentera melancarkan rampasan kuasa ke atas kerajaan Thaksin selepas kereta kebal mengepung pejabat pemimpin itu, merampas stesen televisyen dan mengisytiharkan sebuah badan pentadbiran yang setia kepada Raja Bhumibol.

Pada taklimat semalam, Sondhi berkata, pilihan raya umum akan diadakan pada Oktober 2007 selain menegaskan bahawa dasar luar dan perjanjian antarabangsa tidak akan diubah.

Akhbar The Nation pula melaporkan kumpulan tentera dan polis pro-Thaksin menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dengan Majlis Pembaharuan Pentadbiran pimpinan Sondhi dan tidak akan melancarkan tentangan.

Tentera di bawah pimpinan Sondhi juga sudah menguasai lokasi penting di Bangkok, dilengkapi senjata berat dan ramai lagi tentera dikerah ke ibu negara itu.

Sementara itu, seorang ahli Parlimen, Thawee Kraikupti yang juga ahli Parti Thai Rak Thai pimpinan Thaksin, ditahan tentera kerana membantah rampasan kuasa itu di Tugu Demokrasi di tengah Bangkok.

The Nation melaporkan, Thaksin dikatakan mungkin hidup dalam buangan di London selepas isterinya, Khunying Pojaman Shinawatra sempat melarikan diri ke Singapura untuk mendapatkan penerbangan ke Britain.

Agensi berita Reuters melaporkan, Thaksin menyewa sebuah pesawat Russia untuk membawa beliau dan rombongannya keluar dari New York menuju London.

Pemberita Thailand yang membuat liputan Thaksin di PBB berkata, timbalan perdana menteri Surakiart Sathirathai yang juga calon jawatan setiausaha agung PBB, mungkin menyertai Thaksin di London.

Thaksin mempunyai hartanah di London dan anak perempuannya, Pinthongta masih menuntut di sana.

Nasib anak lelaki tunggal Thaksin, Panthongtae bagaimanapun belum diketahui dan tidak dapat dipastikan sama ada beliau mengikut ibunya ke Singapura. Seorang lagi anak perempuan Thaksin, Pathongtae menuntut di Universiti Chulalongkorn.

“Thaksin melarikan diri ke London bagi mengelak tindakan tentera Thailand berikutan rampasan kuasa berkenaan. Thaksin sendiri sudah hilang pengaruh politik di negara itu,” kata sumber yang dipetik The Nation. – Agensi

BH 21.09.2006


PROFIL
Sondhi Boonyaratglin

# Dilahirkan pada 1946 di Bangkok dalam keluarga elit

# Moyangnya adalah pemimpin agama Islam pertama Thailand dua abad lalu

# Ibunya bertugas di istana

# Tamat pengajian di Akademi Tentera Diraja Chulachomklao pada 1969

# Melanjutkan pengajian ketenteraan di Amerika Syarikat.

# Menganggotai Kor Infantri Tentera Diraja sebelum dipilih mengetuai beberapa unit termasuk pasukan elit Pusat Perintah Khas Peperangan

# Dilantik Panglima Tentera Darat tahun lalu, sekali gus Muslim pertama memegang jawatan itu.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home