Thursday, June 23, 2005

Kes Buli SMA Kritikal!!!!

Pelajar SMA bergaduh lagi tidak peduli teguran Sultan

Oleh RUHAIDINI ABD KADIR


KUANTAN 22 Jun - Satu pergaduhan membabitkan pelajar-pelajar Sekolah Menengah Agama (SMA) Al-Maidah Addiniah, Padang Tengku di Kuala Lipis, tercetus semula empat hari lalu - tidak sampai seminggu selepas Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah melawat sekolah berkenaan.

Pergaduhan itu menunjukkan teguran baginda terhadap pelajar-pelajar di sekolah berkenaan ekoran kejadian membelasah seorang pelajar sekolah itu April lalu tidak diberi perhatian serius.

Pergaduhan terbaru itu yang berlaku Ahad lalu membabitkan pelajar tingkatan lima didedahkan oleh Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Lipis, Abu Jimi Samat hari ini.

``Biro Pengaduan Pemuda UMNO Lipis telah menerima aduan daripada ibu bapa mangsa berhubung perkara ini.

``Kita memandang serius masalah ini dan berharap pihak-pihak yang terlibat dapat bersama-sama membantu menangani masalah ini,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Beliau kesal kerana pergaduhan itu berlaku tidak sampai seminggu selepas Sultan Ahmad Shah yang diiringi Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob dan Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Tun Husein melawat sekolah tersebut pada 21 Jun lalu.

Dalam lawatan itu, Sultan Ahmad Shah menemui pelajar dan guru sekolah berkenaan serta mengadakan sesi dialog berhubung insiden yang menimpa pelajar tingkatan satu sekolah itu, Muhammad Afiq Qusyairi Baharuddin yang cedera parah selepas dibelasah pelajar senior.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Padang Tengku, Abdul Rahman Mohamad mengakui banyak kejadian buli berlaku di sekolah berkenaan yang dimaklumkan kepadanya.

``Kes Muhammad Afiq sebenarnya bukanlah kes terpencil, banyak lagi kes sedemikian di sekolah itu. Ia pernah berlaku sebelum insiden yang menimpa Afiq dan selepas itu pun masih berlaku.

``Justeru saya berharap pelajar atau ibu bapa terbabit tampil membuat laporan berhubung kejadian yang menimpa anak mereka,'' katanya.

Beliau mahu ibu bapa pelajar yang menjadi mangsa tidak menyembunyikan perkara sebenar yang menimpa anak-anak mereka sebaliknya berani untuk mendedah kejadian itu.

``Sebelum kes Afiq, seorang pelajar sekolah itu, Badri Zainal Ali, 14, menghadapi risiko pekak akibat ditempeleng oleh pelajar tingkatan lima sekolah berkenaan.

``Kes ini tidak dilaporkan dan mangsa yang telah berpindah sekolah masih perlu menjalani rawatan dan pemeriksaan sehingga hari ini,'' katanya.

Kejadian yang menimpa Badri hanya dapat dikesan selepas lebih dua minggu insiden membuli Muhammad Afiq didedahkan media.

Badri yang telah berpindah ke Sekolah Menengah Kebangsaan Kerambit, Kuala Lipis selepas kejadian itu Januari lepas, kini masih menjalani pemeriksaan telinga di Hospital Daerah Lipis.

Beliau yang telah dua kali menjalani pemeriksaan itu dan sekali di Hospital Mentakab, kini dirujuk ke Hospital Temerloh.

Sementara itu, keluarga kepada pelajar yang menjadi mangsa buli diminta membuat aduan kepada Biro Pengaduan Awam Pemuda UMNO Lipis di talian 09-3122084.

Petikan berita: Utusan Malaysia 23 Jun 2005

0 Comments:

Post a Comment

<< Home