Thursday, January 05, 2006

BIGfoot

Media antarabangsa jejak Bigfoot
Oleh Abdul Razak Raaff

JOHOR BAHRU: Beberapa agensi media antarabangsa termasuk Perbadanan Penyiaran British (BBC) dan Reuters, berminat membuat liputan dan menjejaki ‘Bigfoot' yang didakwa pernah dilihat oleh beberapa Orang Asli di hutan simpan negeri ini.

MACAM INI: Cungka melakar Bigfoot berdasarkan gambaran rakannya yang mendakwa melihat makhluk itu di hutan simpan Johor.

Selain itu, sebuah pertubuhan antarabangsa berpangkalan di Singapura yang mengkhusus dalam kajian fenomena luar biasa dan beberapa penyiasat persendirian Britain turut berminat membuat penyelidikan mengenai makhluk itu.

Mereka kini mengumpul maklumat dan berhubung dengan pejabat Perbadanan Taman Negara Johor (PTNJ) bagi mendapatkan kebenaran memasuki hutan simpan di negeri ini untuk memulakan kajian.

Minat itu timbul berikutan laporan media mengenai beberapa Orang Asli di hutan simpan Johor yang mendakwa pernah terserempak makhluk gergasi berbulu itu pada Ogos dan November lalu.

Pengarah PTNJ, Hashim Yusof, berkata BBC dan Reuters ada menghubunginya melalui telefon untuk mendapatkan maklum balas dan mengumpul pelbagai maklumat serta gambaran mengenai makhluk itu.

Katanya, mereka juga menyatakan hasrat untuk membuat kajian dan penyelidikan mengenai makhluk yang dipercayai Bigfoot itu termasuk menemuramah Orang Asli yang mendakwa pernah terserempak dengannya.

“Ketika menghubungi saya, mereka meminta pelbagai maklumat mengenai lokasi, rupa bentuk serta pendapat dan pandangan saya mengenai kewujudan Bigfoot, selain meminta kebenaran masuk ke hutan dan melakukan penyelidikan.

“Bagaimanapun, saya memberitahu mereka perlu mendapatkan kebenaran daripada kerajaan negeri termasuk Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Hashim berkata, PTNJ hanya boleh bertindak sebagai penyelaras kepada pihak yang berminat membuat penyelidikan, itupun selepas mendapat arahan daripada kerajaan negeri.

Beliau berkata, hasrat pihak luar negara membuat kajian mengenai Bigfoot itu ialah untuk memastikan sama ada makhluk itu benar-benar wujud di sini.

“Malah ada antara mereka bertanya sama ada berita kewujudan Bigfoot itu hanyalah gimik perbadanan bagi menarik kedatangan pelancong asing ke kawasan eko-pelancongan di Johor.

“Saya menjelaskan bahawa kita hanya percaya kepada kebenaran dan sama ada makhluk itu wujud atau tidak, ia perlu dibuktikan menerusi kajian saintifik serta penemuan bukti fizikal sahih,” katanya.

Hashim berkata, PTNJ akan memaklumkan kepada Abdul Ghani serta Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Alam Sekitar negeri, Freddie Long, mengenai minat media asing untuk membuat liputan mengenai Bigfoot itu minggu depan.

BIGFOOT yang didakwa dilihat di California Utara pada 1967.

Sementara itu, pemuda Orang Asli yang dikenali sebagai Cungka berkata, kawannya, seorang pemandu pelancong yang dikenali sebagai Azhar dari Gelang Patah, mendakwa pernah terserempak Bigfoot, ketika membawa sekumpulan pelajar menyertai perkhemahan hutan di Kota Tinggi pada Oktober lalu.

Azhar yang sering membawa masuk pelancong untuk kegiatan merentas hutan memberitahu Cungka, dia dan anak saudaranya ketika perkhemahan itu melihat sekumpulan monyet bersama Bigfoot itu.



FAKTA:
  • Masyarakat Orang Asli di Johor memanggil Bigfoot sebagai `Orang Mawas’, `Orang Utan’, `Hantu Jarang Gigi’ dan `Siamang’.
  • Mereka yang mendakwa pernah melihatnya menggambarkan makhluk itu bertubuh tegap dan besar; gigi besar; mata warna merah; bulunya berwarna perang gelap atau merah kehitaman yang panjang meliputi seluruh tubuh dan ketinggiannya antara 3 meter hingga 3.6 meter.
  • Makhluk berkenaan tidak menyerang atau mengganggu manusia sebaliknya malu jika terserempak dengan manusia.
  • Ia hanya makan pucuk kayu muda dan akan menggosok badannya di kulit pokok kayu, terutama pokok merbau bagi menghilangkan kegatalan pada tubuh.
  • Biasanya ia hidup dalam kumpulan satu keluarga termasuk ibu bapa dan anak serta berpindah randah.
  • Masyarakat Orang Asli menganggap diri mereka bertuah jika dapat bertemu dengan makhluk itu kerana bukan semua Orang Asli boleh terserempak dengan makhluk itu.

Antara lokasi Bigfoot ditemui di hutan simpan di Johor
  • Sungai Kangkar, anak Sungai Mersing pada 1996.
  • Sungai Kinchin, anak Sungai Endau, Mersing pada 2001.
  • Sungai Sedili, Kampung Mawai, Kota Tinggi pada November 2005.
  • Sungai Madek, Kahang, Kluang pada Ogos dan Disember 2005.

Petikan: Berita Harian 5 Januari 2006

0 Comments:

Post a Comment

<< Home