Wednesday, January 25, 2006

Internet disalah guna :P

20% kakitangan awam Johor salah guna Internet

JOHOR BAHRU 24 Jan. - Sebanyak 20 peratus kakitangan awam yang berkhidmat di jabatan kerajaan di negeri ini didapati menyalahgunakan Internet sehingga menyebabkan sistem komunikasi itu menjadi lembap dan menyukarkan urusan antara kerajaan dengan orang awam.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datin Paduka Norsiah Haron berkata, kakitangan awam terbabit didapati menggunakan Internet bagi tujuan tertentu seperti muat turun gambar, lagu dan juga melayari laman web lucah sehingga sistem tersebut menjadi lembap.

Menurut beliau, masalah itu menyebabkan perkhidmatan yang diberikan kepada orang ramai sering terganggu kerana kelembapan sistem berkenaan.

``Namun kita mempunyai satu pasukan yang dapat mengesan mereka melakukan perbuatan itu berdasarkan ID (pengenalan diri) yang terdapat pada komputer masing-masing.

``Sehubungan itu para pegawai dan kakitangan awam dinasihatkan supaya menggunakan Internet sebaik mungkin terutamanya untuk berurusan dengan orang awam,'' katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perjumpaan Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman dengan pegawai dan anggota perkhidmatan awam Johor di Kompleks Islam di sini hari ini.

Kira-kira 1,500 pegawai dari pelbagai jabatan dan agensi kerajaan hadir pada majlis itu.

Norsiah berkata, perkara itu diberikan perhatian serius oleh pihaknya kerana jika sistem tersebut menjadi lembap maka pelbagai tugas melibatkan teknologi itu tergendala khususnya urusan dengan orang awam.

Beliau menasihati semua ketua jabatan supaya bertindak mengawasi setiap kakitangannya melayari Internet supaya ia tidak disalahgunakan dan mereka yang didapati melakukan kesalahan boleh dikenakan tindakan.

Selain itu beliau juga meminta para pegawai dan kakitangan supaya mengelak membuang masa untuk minum pagi dan petang yang boleh menjejaskan mutu perkhidmatan awam.

Jelas beliau, perkara itu dilihat semakin berkurangan berikutan langkah-langkah penambahbaikan untuk meningkatkan prestasi perkhidmatan awam telah diambil bagi memastikan mutu kerja setiap kakitangan dan pegawai berada pada tahap memuaskan.

Petikan: Utusan Malaysia 25 Januari 2006

0 Comments:

Post a Comment

<< Home