Friday, January 13, 2006

'Lapar' Duit

Soros sentiasa `lapar' mencari wang

SINGAPURA, 12 Jan. - Jutawan dan spekulator kewangan Amerika, George Soros, mengaku beliau tidak mampu menahan diri daripada mencari lebih banyak wang.

Lelaki yang dituduh oleh banyak pihak sebagai dalang yang menyebabkan berlakunya krisis kewangan Asia pada 1997 ini (walaupun beliau menafikannya), mengaku bahawa sebahagian besar kehidupan beliau tertumpu terhadap usaha mencari wang.

Beliau menggunakan istilah `lapar' bagi menjelaskan tentang keadaan yang dilaluinya semasa zaman remaja.

``Apabila saya lapar, saya perlukan wang. Apabila anda lapar, tuntutan ini (keperluan mencari wang) seolah-olah meruntun anda dengan begitu hebat sekali,'' katanya di sini baru-baru ini.

Soros mula membabitkan diri dalam perniagaan mata wang pada 1945. Pada 1992, beliau memperoleh AS$1.1 bilion dalam masa sehari hanya dengan membuat spekulasi tentang penurunan nilai pound sterling.

Bercakap pada dialog masyarakat terbuka di sini, Soros berkata, kekayaan yang dimilikinya sekarang membolehkan beliau memperjuangkan hasratnya untuk mewujudkan masyarakat terbuka di kalangan negara yang sedang naik.

``Dan sekarang saya berada di sini, saya menghabiskan 50 tahun pertama hidup saya mencari wang, semata-mata untuk mencari wang, dan saya memang sentiasa lapar semasa masih muda...dan kemudian saya tidak dapat berhenti daripada mencari wang,'' katanya bagi menjawab soalan sama ada kekayaan menjadi pra-syarat untuk melahirkan masyarakat terbuka.

``Saya berpendapat memang ada kaitan antara kemakmuran dan masyarakat terbuka kerana masyarakat yang makmur perlu terus makmur untuk membolehkannya bersikap terbuka,'' katanya.

Soros adalah pengasas Open Society Institute yang wujud sejak 25 tahun lepas. Institut ini mempunyai rangkaian pertubuhan amal yang menghulurkan derma dan bergerak aktif di kira-kira 50 negara.

Menurut fahaman Soros, masyarakat terbuka adalah masyarakat yang memberi kebebasan untuk melahirkan pendapat, bertolak ansur mengenai idea baru dan memiliki sikap terbuka mengenai kebebasan perdagangan.

``Saya dapat idea mengenai masyarakat terbuka ini sebelum saya menjadi kaya lagi. Hanya setelah saya berjaya, barulah saya berupaya berusaha untuk mencapainya. Ramai juga orang menumpukan hidup mereka terhadap perkara ini walaupun mereka tidak kaya,'' katanya.

Soros menganggap Singapura sebagai antara negara yang tidak layak menjadi masyarakat terbuka dengan berkata tindakan republik ini menggunakan saman fitnah bagi mengekang gerakan pembangkang menjadi halangan besar terhadap kebebasan bersuara dan kebebasan melahirkan pendapat. - Bernama

Petikan: Utusan Malaysia 13 Januari 2006

0 Comments:

Post a Comment

<< Home