Wednesday, January 18, 2006

Mari makan "KARI KEPALA IKAN" :P

Kari boleh sekat sel kanser

WASHINGTON: Penyelidikan mendapati kari dapat mencegah barah prostat kerana ia mengandungi bahan kimia yang penting untuk melawan barah manakala satu lagi kajian mengatakan pendedahan kepada cahaya matahari juga mengurangkan risiko lelaki kena kanser itu.

Di Pusat Kanser California Utara, pakar Kursus Perubatan Keck Universiti Southern California dan Pusat Kanser Universiti Wake Forest mendapati sinaran matahari menambah vitamin D pada kulit sekali gus membantu mengurangkan risiko kanser prostat.

Menggunakan pengukur ‘reflectometer’, pakar mendapati orang yang terdedah paling lama kepada cahaya matahari kurang separuh berisiko kena barah itu, puratanya 20 jam seminggu atau lebih.

Bagi penyelidik di Universiti Rutgers pula, sayur-sayuran yang dicampur dengan serbuk kari berkesan dalam merawat barah prostat, barah kedua penyebab kematian di kalangan lelaki Amerika Syarikat (AS).

Akhbar Washington Times melaporkan, gabungan itu mengeluarkan kimia penting ‘yang mempunyai potensi sebenar bagi rawatan dan pencegahan barah prostat.

Sayur-sayuran mengandungi kimia ‘phenethyl isothiocyanate’ atau PEITC manakala kari mengandungi ‘curcumin’, bahan kuning dalam rempah.

Kedua-duanya dikelaskan sebagai ‘phytochemicals’ - bahan tidak berzat dalam tumbuhan yang mempunyai kualiti pertahanan, antioksidan atau antipenyakit.

“PEITC dan curcumin, sendirian atau digabungkan, menunjukkan kualiti penting pencegahan barah pada tikus makmal dan gabungan PEITC dan curcumin berkesan dalam merawat barah prostat,” kata Ah-Ng Tony Kong, penulis kajian itu dan juga profesor jabatan farmasi di Rutgers.

Walaupun setengah juta kes baru barah prostat muncul di AS setiap tahun, insiden dan kadar kematian tidak berkurangan di sebalik penyelidikan selama berdekad-dekad mengenai rawatan dan penyembuhan.

Kes lanjutan sel barah prostat ‘hampir tidak memberi tindak balas’ kepada kimoterapi atau rawatan radiasi, kata Kong.

Dia mendapat ilham mengkaji amalan pemakanan sebagai terapi tambahan selepas mendapati penyakit itu jarang berlaku di India.

Tahun lalu, Universiti Texas mendapati kari menghalang pertumbuhan sel barah kulit dan barah payu dara manakala Universiti California di Los Angeles mendapati ia menghentikan penyebaran plak otak menyakitkan di kalangan pesakit Alzheimer’s.

Dia yang sebelum ini menemui bukti meyakinkan berkata, bahawa kedua-dua kimia menghalang pertumbuhan sel barah dalam ujian di makmal.

Kong kemudian menguji teori ke atas tikus yang disuntik dengan sel barah. Tiga kali seminggu selama sebulan, tikus itu kemudiannya disuntik dengan PEITC dan curcumin. Secara berasingan, bahan itu ‘membantutkan pertumbuhan tumor barah’ kata Kong.

“Penggunaan PEITC dan curcumin menunjukkan kekuatan lebih kuat (bagi melawan barah),” katanya. – Agensi

Petikan: Berita Harian 18 januari 2006

0 Comments:

Post a Comment

<< Home