Thursday, June 23, 2005

Buli Bukan Budaya ISLAM

Perpektif IKIM: Buli bukan budaya Islam

KES buli terus berlaku di sekolah walaupun pelbagai langkah dan tindakan diambil untuk mengatasinya. Mengapakah buli terjadi?

Kajian Presiden Persatuan Psikologi Malaysia, Prof Datin Dr Noran Fauziah Yaakub, mendapati faktor utama adalah si pembuli berasa puas apabila berjaya menyakiti mangsa secara lisan dan fizikal. Dengan kata lain pembuli membuli orang lain sekadar untuk ‘berseronok’.

Kajian itu juga mendapati kebanyakan mereka yang terbabit dengan buli tidak mempunyai hubungan kekeluargaan kukuh dan datang daripada keluarga yang tidak mengambil berat pendidikan agama.

Jika hasil kajian Dr Noran ini mengatakan bahawa kebanyakan pembuli datang daripada keluarga yang tidak mengambil berat pendidikan agama, persoalan kedua ialah mengapakah kes buli turut berlaku di sekolah agama? Mungkin perlu ada kajian lapangan susulan untuk menjawab persoalan ini.

Islam tidak menganjurkan penindasan dan salah satu sifat orang Islam ialah tidak memberi masalah kepada saudara seIslam.

Budaya buli adalah kezaliman yang menyebabkan mangsanya akan mengalami gangguan mental dan fizikal berterusan.

Apatah lagi jika berlaku di kalangan pelajar sekolah yang sepatutnya memanfaatkan masa muda dengan menuntut ilmu.

Kementerian Pelajaran walaupun mengumumkan penubuhan Jawatankuasa Petugas Khas bagi menangani samseng dan buli di sekolah pada April lalu serta mewujudkan talian hotline, SMS, e-mel dan sebagainya bagi membolehkan aduan dibuat, namun keberkesanannya masih belum dapat disahkan. Buktinya gejala buli masih berlaku dan kebelakangan ini makin banyak kes baru yang dimuatkan di dada akhbar.

Apa yang jelas kita ada jawatankuasa khas untuk menangani masalah ini. Mungkin dari segi pelaksanaan ia memerlukan komitmen daripada semua pihak, baik keluarga, pengetua sekolah, guru, warden asrama atau pelajar.

Tiada gunanya pelajar hanya mencapai kecemerlangan dari segi akademik, sedangkan sahsiah mereka berada dalam kegawatan. Jadi, kita perlu pastikan mereka bukan saja cemerlang dalam pencapaian akademik, malah berkeperibadian unggul.

Dalam konteks pendekatan Islam Hadhari, isu buli jika tidak ditangani dengan bijaksana boleh merencatkan pembangunan kerajaan. Banyak prinsip Islam Hadhari tidak dapat difahami jika isu ini berpanjangan.

Kita mungkin tidak dapat mewujudkan masyarakat Islam beriman dan bertakwa kepada Allah jika ada anggotanya yang tidak mengamalkan moral luhur. Buli bukan lahir daripada keimanan dan ketakwaan kepada Allah.

Ia adalah hasil kedaifan iman dalam sanubari kerana orang beriman dan bertakwa, tidak memberi masalah atau menyusahkan orang lain. Sebaliknya, masyarakat senang dengan kehadirannya.

Petikan: Berita Harian 23 Jun 2005

0 Comments:

Post a Comment

<< Home