Wednesday, January 25, 2006

Siti vs Sharifah, Siapa yang menang?

Saya tak kenal pun Siti Nurhaliza’

Oleh Hanisah Selamat

PETALING JAYA: “Kami tidak pernah berperang, jadi tidak timbul soal perdamaian. Malah Kak Pah tak pernah pandang dia sebagai kawan sebab Kak Pah tak mengenalinya,” kata Datuk Sharifah Aini Syed Jaafar ketika ditanya soal hubungannya dengan Siti Nurhaliza Tarudin.

Bagaimanapun, Sharifah Aini mengakui kesal dengan sikap Siti yang menurutnya pernah mengeluarkan kenyataan seakan menuduh beliau penulis e-mel fitnah ketika kes itu masih dalam proses mahkamah.

“Siti pernah menyatakan ‘saya lega orang yang menulis e-mel ini sudah didakwa’. Siti pasti ke Kak Pah yang tulis e-mel itu? Sebenarnya Kak Pah kecewa dengan kenyataan itu. Tidak adil dia menuding saya sedangkan belum tahu siapa bersalah.

“Sebagai orang yang lebih dewasa daripadanya dan sudah lama berada dalam industri seni, saya amat jauh hati. Tambahan pula kenyataannya disiarkan di televisyen dan akhbar. Kenapa cakap begitu sedangkan kes berjalan,” katanya di kediamannya di sini, semalam.

Kelmarin, biduanita negara itu dilepas tanpa dibebaskan oleh Mahkamah Majistret daripada tuduhan menyebarkan e-mel fitnah terhadap Siti mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan.

Sharifah Aini berkata, tidak mungkin dia boleh mesra jika terserempak dengan Siti berikutan kes itu. Namun, beliau tidak akan membantah jika perlu menjayakan persembahan bersama kerana prinsip profesionalisme.

“Jika Siti rasa dia dianiaya, perasaan itu lebih dirasai saya kerana dituduh, diheret dan keluar masuk mahkamah,” katanya.

Sementara itu, kakak ipar merangkap pengurus Siti, Rozi Abdul Razak, berkata masyarakat harus faham ia bukan membabitkan pergaduhan antara penyanyi itu dengan Sharifah Aini kerana ketika membuat laporan polis, mereka tidak tahu angkara siapa.

Katanya, apabila kes itu tiba di mahkamah, orang luar sudah salah tafsir hingga mengatakan kedua-duanya bergaduh sedangkan hakikatnya Siti mahu membersihkan namanya.

“Macam ni la...susah nak cakap sebab orang salah tafsir terhadap keadaan ini. Tapi kalau tak bercakap, rentetan kejadian ramai yang tak faham. Ia bermula dengan e-mel tersebar. Siti menjalankan haknya dengan membuat laporan polis.

“Dia cuma nak bersihkan nama... Saya tak tahu apa tindakannya selepas ini kerana dulu pun Siti berfikir dua minggu untuk membuat laporan,” katanya.

Petikan: Berita Harian 25 Januari 2006

0 Comments:

Post a Comment

<< Home