Thursday, February 09, 2006

Nasib Tulisan Jawi

Melayu harus risau tulisan jawi berkubur

PULAU PINANG 8 Feb. - Masyarakat Melayu di negara ini haruslah mengambil sesuatu langkah bagi menghidupkan semula tulisan Jawi ekoran tulisan itu telah `berkubur' apabila akhbar Utusan Melayu Mingguan - satu-satunya akhbar dalam tulisan jawi - kini telah dihentikan penerbitannya.

Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, penutupan penerbitan akhbar Utusan Melayu Mingguan seharusnya dipandang sebagai satu kematian kepada warisan bangsa kerana tulisan jawi adalah satu pusaka warisan bangsa yang telah menjadi skrip rasmi dan lidah Melayu selama lebih 600 tahun.

Katanya, masyarakat Melayu tidak seharusnya cuma berpeluk tubuh melihat tulisan jawi menghilang dari ufuk budaya dan persoalan berat ini menuntut penyelesaian daripada orang Melayu sendiri.

Beliau berkata, apabila penerbitan akhbar tulisan jawi dihentikan pada 29 Januari lepas, adalah jelas orang Melayu tidak mempedulikannya sedangkan pada hakikatnya ia bererti kematian kepada sebahagian jasad budaya warisan Melayu itu sendiri.

``Tidak ada orang yang mendengus, tidak ada orang yang mempolemikkan kematian ini dan minat terhadap tulisan jawi telah menurun,'' katanya pada ucaptama bertajuk Unsur-unsur dan Cabaran Perpaduan Ke Arah Membina Negarabangsa Malaysia sempena majlis Perhimpunan Perdana Perpaduan Awam anjuran Majlis Perundingan Muhibah di Universiti Sains Malaysia (USM) di sini hari ini.

Teks ucapannya disampaikan oleh Naib Cancelor USM, Datuk Prof. Dzulkifli Abdul Razak.

Rais berkata, apabila akhbar Utusan Melayu yang mengoborkan politik dan perjuangan Melayu berdekad-dekad lamanya mati kerana tidak dibeli lagi oleh orang Melayu dan dalam masa yang sama populariti bahasa Inggeris berterusan seperti apa yang berlaku sekarang, suatu ketika kelak akhbar-akhbar bahasa Melayu juga akan mengalami nasib yang sama.

Katanya, jika peredaran zaman menjadi alasan sehingga bangsa Melayu tidak lagi berminat dengan tulisan jawi, bukan sahaja budaya Melayu akan terjejas malah perpaduan Melayu juga tidak akan tercapai. - Bernama

Petikan: Utusan Melayu 9 Februari 2006

3 Comments:

At 10:57 AM, Blogger Onk Hi Tea said...

JASIN, 9 Feb (Hrkh) - Orang Melayu tidak boleh berpeluk tubuh, melihat saja tulisan Jawi hampir berkubur dengan penutupan 'akhbar jawi terakhir' , 'Utusan Melayu Mingguan', kata Setiausaha Dewan Pemuda PAS Melaka, Ahmad Shahrum Daud.

Beliau berkata, penutupan penerbitan akhbar berkenaan sewajarnya dipandang sebagai satu kematian kepada warisan bangsa kerana tulisan Jawi sudah bertapak lebih 600 tahun, serentak dengan kedatangan Islam ke Nusantara.

Katanya lagi, masyarakat Melayu tidak seharusnya terus berpeluk tubuh melihat tulisan Jawi menghilang daripada ufuk budaya dan persoalan berat ini menuntut penyelesaian daripada orang Melayu sendiri dengan pemerintah Umno/BN perlu bertanggungjawab sepenuhnya .

Ahmad Shahrum berkata Dewan Pemuda PAS Negeri Melaka kecewa kerana tulisan Jawi hanya dianggap sebagai satu pusaka warisan bangsa tetapi tidak dianggap suatu asas pengajaran agama Islam dan al-Quran.

Apa yang dikesalkan katanya tidak ada sebuah pihak bertanggung jawab seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Kementerian Pendidikan malah Umno sendiri yang menjadi tulang belakang pemerintahan negara, mengambil tindakan untuk memperkemas dan menyelamatkan tulisan Jawi.
Kata Shahrum, agenda untuk menghalang perkembangan Islam oleh Barat nampaknya telah berjaya dilakukan oleh kerajaan BN.

"Ini terbukti dengan penarikan balik bantuan perkapita kepada Sekolah Agama Rakyat (SAR), dan dakwaan kononnya SAR tempat melahirkan pengganas, arahan kerajaan Melaka supaya Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) ditutup, ceramah agama disekat dan banyak lagi ancaman yang diterima oleh parti yang memperjuangan Islam.

Beliau berkata, apabila penerbitan akhbar tulisan Jawi dihentikan pada 29 Januari lalu, jelas orang Melayu tidak mempedulikannya sedangkan pada hakikatnya ia bererti kematian kepada sebahagian jasad budaya warisan Melayu Islam itu sendiri.

"Umno/BN-lah yang menyebabkan tulisan ini mati. 'Kempen'menguburkan tulisan ini bermula pada zaman Khir Johari menjadi Menteri Pelajaran lagi," kata Shahrum.

Beliau turut bimbang bahasa Melayu juga akan berkubur dengan keghairahan kerajaan Umno/BN mempromosikan bahasa Inggeris sebagai bahasa ilmu di institusi pendidikan daripada sekolah rendah ke universiti. - lanh

 
At 11:54 AM, Blogger ~kama~ said...

Ekelleh. Siapa yang anti utusan melayu? Cakap tak srrupa bikin

 
At 11:55 AM, Blogger ~kama~ said...

Ekelleh. Siapa yang anti utusan melayu? Cakap tak srrupa bikin

 

Post a Comment

<< Home