Tuesday, February 07, 2006

Telefon Bimbit

Telefon bimbit bukan punca tumor otak

SELEPAS empat tahun kajian, saintis Institut Penyelidikan Barah London bersama tiga universiti British merumuskan bahawa menggunakan telefon bimbit tidak akan meningkatkan risiko pembentukan tumor otak.

Profesor Patricia McKinney daripada Universiti Leeds berkata, pada keseluruhannya didapati tiada risiko pembentukan glioma akibat penggunaan telefon bimbit yang mana ini hampir menyamai penemuan daripada kajian lain.

Kajian itu merangkumi skop besar berbanding yang pernah dilakukan sebelum ini memandangkan ia adalah sebahagian daripada kerjasama yang membabitkan 13 negara.

Sepanjang dua dekad, penggunaan telefon bimbit dunia mencatat peningkatan namun tidak ada bukti kukuh untuk mengesahkan kewujudan masalah kesihatan daripada sakit kepala hingga tumor otak akibat teknologi ini.

Lebih 4,000 kes baru berkaitan dengan tumor otak di diagnosis setiap tahun di Britain dan kira-kira 2,000 kes di Amerika Syarikat.

Tahun lalu, saintis Sweden berkata telefon bimbit mungkin akan mendedahkan pengguna kepada risiko kesihatan di kawasan luar bandar memandangkan mereka terdedah kepada isyarat tinggi di kawasan berkenaan.

Namun begitu, penyelidik tidak mendapati sebarang peningkatan ancaman kesihatan bagi penduduk berkenaan.

Sebelum ini, telefon bimbit menggunakan isyarat analog yang memancarkan isyarat berkuasa tinggi berbanding model digital.

Sekiranya terdapat bahaya kesihatan daripada telefon berkenaan, ia sepatutnya membuahkan hasil daripada model awal, namun saintis tidak menemui sebarang bukti terhadapnya.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home