Wednesday, August 03, 2005

KL dilanda "Jerebu"

Jerebu beberapa hari lagi
Oleh Ahmad Naim Tahir dan Shamshul Azree Samshir

PUTRAJAYA: Jerebu yang agak teruk di beberapa kawasan termasuk Lembah Klang sejak petang semalam, dijangka berterusan beberapa hari lagi berikutan kebakaran hutan secara meluas di Indonesia, terutama Sumatera.

Antara kawasan terjejas teruk ialah pusat pentadbiran negara di sini yang mula dilanda jerebu kira-kira jam 2 petang, menyebabkan jarak penglihatan dianggarkan satu kilometer, selain debu dan sisa pembakaran yang boleh disedut serta dihidu pada jarak rendah.

Malah, kebanyakan bangunan pejabat kerajaan termasuk Bangunan Pejabat Perdana Menteri bagaikan lesap ditelan jerebu. Keadaan diburukkan lagi dengan kebakaran tanah gambut seluas lebih 1.2 hektar di Cyber Park sejak dua hari lalu.

Jerebu turut melanda Shah Alam, Ipoh, Seremban, Melaka, Kuching dan Muar.

Ketua Pengarah JAS, Datuk Rosnani Ibarahim, berkata pergerakan angin monsun dari arah barat daya Sumatera ke Semenanjung menyebabkan kesan kebakaran dibawa merentasi sempadan.

SUKAR: Pemandangan menjadi kabur akibat jerebu dirakamkan berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

“Ia menyebabkan beberapa kawasan terutama di pantai Barat Semenanjung berasa sedikit kesan kemerosotan kualiti udara dalam tempoh beberapa hari berikutnya,” katanya semalam.

Pemantauan sehingga jam 11 pagi semalam menunjukkan 32 kawasan mencatat status kualiti udara sederhana seperti Lembah Klang, Kangar, Sungai Petani, Ipoh, Taiping, Tanjung Malim, Melaka, Muar dan Kuantan.

Hanya Sri Manjung, Perak mencatat status kualiti udara tidak sihat, manakala jarak penglihatan di kebanyakan kawasan di seluruh negara baik iaitu melebihi 10 kilometer.

Bagaimanapun beberapa kawasan seperti Bayan Lepas, Chuping, Ipoh, Batu Embun dan Petaling Jaya mencatat jarak penglihatan antara lapan hingga sembilan kilometer.

ALOR STAR, Sitiawan, Subang dan Kuching mencatat jarak penglihatan antara 5 kilometer hingga 7 kilometer,” katanya.

Jurucakap Jabatan Penerbangan Awam (DCA) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang ketika dihubungi berkata, KLIA turut dilanda jerebu tetapi operasi penerbangan berjalan seperti biasa.

Di SEREMBAN, kebanyakan kawasan terutama sekitar ibu negeri serta Nilai diselubungi asap kira-kira jam 2 petang menyebabkan jarak penglihatan merosot kepada kira-kira 500 meter.

Tinjauan di Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran Senawang mendapati pengguna memandu perlahan berikutan jarak penglihatan terhad.

Fakta Nombor
620 titik panas dikesan menerusi imej satelit sejak kelmarin
587 di utara Sumatera, termasuk Riau
17 di Sarawak
16 di Kalimantan

Petikan: Berita Harian 3 Ogos 2005

0 Comments:

Post a Comment

<< Home