Tuesday, August 02, 2005

Raja Fahd mangkat


Putera Mahkota Abdullah pemimpin baru Arab Saudi

RIYADH: Pemerintah Arab Saudi, Raja Fahd Abdul Aziz, yang menerajui negara pengeksport minyak utama dunia dan sekutu kuat Amerika Syarikat di Asia Barat itu, mangkat semalam selepas gering sejak 27 Mei lalu.

Adik tirinya, Putera Mahkota Abdullah yang menjadi pemerintah de facto sejak 10 tahun lalu selepas Fahd diserang angin ahmar pada 1995, ditabalkan raja baru Arab Saudi.

Menteri Pertahanan paling berpengaruh, Sultan bin Abdul Aziz, 77, dipilih menjadi Putera Mahkota negara itu.

Sumber perubatan berkata, Raja Fahd yang dipercayai berusia 84 tahun, meninggal dunia subuh semalam, 23 tahun selepas beliau ditabalkan menjadi Raja Saudi bagi menempuh cabaran krisis minyak, peperangan dan kemunculan pelampau.

Solat jenazah akan diadakan hari ini manakala dunia Arab termasuk Mesir dan Jordan turut mengisytiharkan tempoh berkabung.

“Dengan penuh dukacita dan sedih, kerabat diraja berkabung dengan kemangkatan Raja Fahd.. Dengan ini, kerabat diraja berikrar untuk taat setia kepada Putera Mahkota Abdullah Abdul Aziz sebagai raja negara ini.

“Seterusnya, Raja Abdullah berkenan memilih Menteri Pertahanan, Sultan bin Abdul Aziz untuk menjadi putera mahkota,” kata Menteri Penerangan, Iyad Amin Madani membacakan pengumuman rasmi kemangkatan Fahd.

Dalam apa yang dianggap cubaan menenangkan harga minyak di pasaran dunia ekoran kemangkatan Fahd, seorang pegawai kanan Riyadh berkata, Arab Saudi akan mengekalkan pengeluaran minyak seperti diperlukan bagi menstabilkan harga.

Fahd dimasukkan ke Hospital Pakar Raja Faisal di Riyadh pada akhir Mei lalu untuk ujian perubatan dan dikatakan mengalami masalah pernafasan akibat radang paru-paru.

Baginda menerajui era yang dianggap penuh mencabar dalam sejarah Arab Saudi yang menyaksikan negara itu terselamat dalam dua Perang Teluk tetapi akhirnya terpaksa berdepan dengan kumpulan pelampau didakwa diterajui Osama bin Laden.

Fahd sebelum ini mengusir Osama dari negara itu kerana didakwa cuba menggulingkan kerajaan diraja Saudi.

Persahabatan Dinasti Saud dengan Amerika Syarikat teruji hebat dengan serangan 11 September 2001 ke atas New York dan Washington apabila 15 daripada 19 penyerang didakwa rakyat Saudi.

Bagaimanapun kebijaksanaan Fahd berjaya mengekalkan persahabatan berkenaan.

Raja Abdullah adalah tokoh popular yang dianggap pemimpin sebenar Arab Saudi sejak 10 tahun lalu dan menjadi tulang belakang kepada usaha pembaharuan kerajaan.

Pemimpin berusia 81 tahun itu, mengekalkan tradisi dengan melantik Sultan sebagai pembantunya meskipun ada laporan sebelum ini menyatakan, mereka sering bertelagah.

Pemerhati politik menyatakan kedua-dua tokoh ini berdepan dengan situasi sukar untuk menentukan barisan pelapis di kalangan berpuluh-puluh anak raja yang mendapat pendidikan Barat serta meminati teknologi, berbanding Fahd, Abdullah dan Sultan yang hanya mendapat pendidikan sekolah agama di istana.

Penganalisis menganggap pemilihan Sultan sebagai tanda pembaharuan yang sedang diusahakan Abdullah tetapi dalam masa sama cuba untuk memastikan kesinambungan dinasti Saud.

Dinasti Saud yang dibentuk sejak kurun ke-18 apabila Raja Padang Pasir, Mohammad bin Saud menyertai kebangkitan kumpulan pembaharuan islam, Mohammad bin Abdul Wahab. – Agensi

Berita Harian - 2 Ogos 2005

0 Comments:

Post a Comment

<< Home