Wednesday, August 03, 2005

Tarif Elektrik Akan Naik...

Selepas rakyat menangung beban disebabkan kenaikan harga minyak, selepas ini akan menanggung lagi beban kenaikan tarif elektrik. Bak kata pepatah Melayu, "Sudah Jatuh Di Timpa Tangga".

Tarif elektrik akan naik -- Kadar baru tidak bebankan pengguna berpendapatan rendah

Oleh FAUZI JAAFAR

KUALA LUMPUR 2 Ogos - Kerajaan akan mengumumkan struktur baru kadar tarif elektrik dalam tempoh terdekat ekoran kenaikan harga minyak dunia.

Bagaimanapun, kerajaan memberi jaminan kadar baru itu tidak akan membebankan pengguna berpendapatan rendah dan pengguna berhemat.

Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi, Datuk Seri Dr. Lim Keng Yaik memberitahu, kadar tarif elektrik negara tidak disemak semula sejak 10 tahun lalu.

Tarif elektrik yang rendah sekarang, katanya, menyebabkan ada orang kaya memasang pendingin hawa di stor rumahnya, tempat menyimpan wain dan cerut.

``(Kadar tarif baru itu akan diumumkan) secepat mungkin, tidak mungkin pada tahun hadapan kerana ia terlalu lama,'' kata beliau kepada pemberita selepas merasmikan Program Perkembangan Kompetensi dan Keselamatan (CDP) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini hari ini.

Keng Yaik menjelaskan Tenaga Nasional Bhd. (TNB) telah pun menyerahkan cadangan struktur baru kadar tarif elektrik dan kerajaan sedang menelitinya.

Pada 31 Julai lalu, kerajaan mengarahkan semua pejabat kerajaan menjimatkan penggunaan alat pendingin hawa.

``Kabinet memutuskan supaya semua pejabat berhawa dingin diarahkan supaya meningkatkan suhunya sedikit supaya jimat tenaga, sebagai sebahagian daripada proses menjimatkan kos,'' kata Menteri Sumber Manusia, Datuk Fong Chan Onn.

TNB menghantar cadangan tarif elektrik yang baru pada bulan Mei tahun lalu, selepas kejadian gangguan bekalan elektrik yang terburuk.

Kira-kira 65 peratus daripada janaan kuasa elektrik TNB diperoleh daripada gas.

Dalam pada itu Keng Yaik berkata: ``Apa juga penstrukturan tarif bukan (bermakna) tarif naik. Nanti Fomca (persatuan pengguna) tanya. Kita (kerajaan) mesti lihat pada orang miskin dan berpendapatan sederhana yang hanya menggunakan cukup-cukup bekalan elektrik.

``Tetapi pada mereka yang salah guna sehingga tiada hari esok, mereka mesti bayar lebih.''

Kata beliau, penyemakan semula itu juga supaya masyarakat lebih menghargai penggunaan tenaga elektrik.

Sehubungan itu Keng Yaik meminta orang ramai terutama pihak industri seperti pengusaha hotel dan pasar raya menjimatkan penggunaan tenaga elektrik.

``Mereka (hotel dan pasar raya) ada alat untuk menjimatkan elektrik, tetapi tidak menggunakannya sebab harga elektrik yang rendah hingga boleh membazir,'' katanya.

Bekalan petroleum kata beliau, bukan selama-lamanya boleh diperoleh dalam negara dan jika tidak dijimatkan Malaysia mungkin terpaksa mengimport petroleum pada 2009 untuk membekalkan tenaga elektrik.

Menurut Keng Yaik, sebanyak 65 peratus janakuasa elektrik di negara ini menggunakan gas yang dibeli untuk menghasilkan bekalan elektrik bagi memenuhi keperluan negara.

Malaysia katanya, mendapatkan bekalan gas daripada Petronas dengan harga subsidi sebanyak RM6 bilion, jauh lebih rendah daripada harga pasaran.

Tambah beliau, penggunaan tenaga elektrik di negara ini sangat berlebihan sehingga disebabkan terlalu sejuk kesan daripada pendingin hawa, seseorang yang memasuki bangunan perlu memakai kot atau baju sejuk.

Beliau sekali lagi mengingatkan masyarakat supaya menggunakan bekalan elektrik hanya untuk keperluan yang penting sahaja dan tidak membazir.

``Kita ini seperti bakar duit, sedangkan duit perlu digunakan untuk benda-benda pembangunan lain seperti mengatasi masalah kemiskinan luar bandar, setinggan dan sebagainya,'' katanya.

Petikan: Utusan Malaysia 3 Ogos 2005

0 Comments:

Post a Comment

<< Home