Wednesday, February 15, 2006

Kabinet

Dua menteri gugur, dua berundur
Oleh Kadir Dikoh dan Shamsul Azree Samshir2 timbalan menteri dinaikkan pangkat penuh, 2 bekas menteri kembali sertai Kabinet
PUTRAJAYA: Dua timbalan menteri dinaikkan pangkat sebagai menteri penuh, dua bekas menteri dilantik semula, manakala dua lagi menteri berundur dalam rombakan Kabinet yang diumumkan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, semalam.

Status semua menteri kanan termasuk Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Rafidah Aziz dan Menteri Kerjaraya, Datuk Seri S Samy Vellu, kekal.

Walaupun Kabinet baru itu menyaksikan lapan kementerian bertukar kepemimpinan, hanya dua menteri digugurkan, manakala dua lagi berundur. Mengisi kekosongan itu ialah dua bekas menteri dan dua timbalan menteri.

Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Zulhasnan Rafique dilantik mengetuai kementerian itu bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad, manakala Timbalan Menteri Penerangan, Datuk Zainudin Maidin menggantikan Datuk Seri Abdul Kadir Sheikh Fadzir.

Abdul Kadir meletakkan jawatannya kira-kira tiga jam sebelum Perdana Menteri mengumumkan rombakan Kabinetnya.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Adenan Satem yang juga Naib Presiden Kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) tidak disenaraikan semula bagi membolehkannya berkhidmat sepenuh masa di Sarawak.

Adenan disebut-sebut bakal menggantikan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud, sama ada sebelum atau selepas pilihan raya negeri itu, tidak lama lagi.

Menteri yang digugurkan pula ialah Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Shafie Mohd Salleh dan Menteri Pelancongan, Datuk Dr Leo Michael Toyad.

Muka lama yang menyertai semula Kabinet ialah bekas Menteri Pertanian, Datuk Seri Effendi Norwawi selaku Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan bekas Menteri di JPM, Datuk Tengku Adnan Tengku Mansor dilantik Menteri Pelancongan menggantikan Michael Toyad.

Effendi yang juga Naib Presiden PBB dan wakil khas kerajaan bertaraf menteri di Kementerian Pengajian Tinggi, mengisi kuota dari Sarawak berikutan pengunduran Adenan.

Senarai anggota Kabinet baru itu yang berkuat kuasa serta merta, diumumkan Abdullah pada sidang akhbar khas pada jam 2.45 petang dan disiarkan secara langsung oleh TV3. Hadir sama timbalannya, Datuk Seri Najib Razak dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Samsudin Osman.

Dalam rombakan Kabinet itu, yang pertama sejak Abdullah menyandang jawatan Perdana Menteri kelima, Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Datuk Seri Azmi Khalid ditukar portfolio sebagai Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, menggantikan Adenan.

Menteri di JPM, Datuk Mustapa Mohamed turut bertukar portfolio, iaitu menggantikan Shafie sebagai Menteri Pengajian Tinggi manakala seorang lagi Menteri di JPM, Datuk Seri Mohd Radzi Sheikh Ahmad sebagai Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri menggantikan Azmi.

Seperti dijangka, Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Kerk Choo Ting yang tewas dalam perebutan jawatan Presiden Gerakan sebelum ini, digugurkan bersama dua lagi timbalan menteri iaitu Datuk Mahadzir Mohd Khir (Pelajaran) dan Datuk Tengku Putera Tengku Awang (Kewangan).

Tempat Kerk digantikan oleh Ketua Pemuda Gerakan, Datuk Mah Siew Keong yang sebelum ini Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Noh Omar pula mengambil alih tempat Mahadzir manakala jawatan Tengku Putera diisi Datuk Dr Awang Adek Hussin yang sebelum ini Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.

Muka baru yang dimasukkan dalam pentadbiran Abdullah ialah Senator Datuk Abdul Rahman Suliman sebagai Timbalan Menteri di JPM; Ketua Pemuda MCA, Datuk Liow Tiong Lai (Timbalan Menteri Belia dan Sukan); Ahli Parlimen Kemaman, Ahmad Shabery Cheek (Setiausaha Parlimen Kementerian Luar) dan Senator Datuk Dr S Vijayaratnam (Setiausaha Parlimen Kementerian Perusahaan Peladangan dan Komoditi).

Antara setiausaha parlimen dinaikkan pangkat ke jawatan timbalan menteri ialah Datuk Wira Abu Seman Yusop (Wilayah Persekutuan); Datuk Zainal Abidin Osman (Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah); Datuk Mohd Johari Baharum (Keselamatan Dalam Negeri) dan Ng Lip Yong (Perdagangan Antarabangsa dan Industri).

Lapan timbalan menteri turut bertukar portfolio termasuk Timbalan Menteri Pelancongan, Datuk Ahmad Zahid Hamidi ke Kementerian Penerangan dan Chia Kwang Chye ke kementerian sama; Datuk Donald Lim Siang Chai (Pelancongan); Datuk Fu Ah Kiow (Keselamatan Dalam Negeri) dan Datuk Ong Tee Kiat (Pengajian Tinggi).

INFO: Naik Pangkat:
  • Datuk Zulhasnan Rafique - Menteri Wilayah Persekutuan
  • Datuk Zainudin Maidin - Menteri Penerangan
Kembali:
  • Datuk Seri Effendi Norwawi - Menteri di Jabatan Perdana Menteri
  • Datuk Tengku Adnan Tengku Mansor - Menteri Pelancongan
Gugur:
  • Datuk Dr Leo Michael Toyad - Menteri Pelancongan
  • Datuk Seri Dr Shafie Mohd Salleh - Menteri Pengajian Tinggi
Bertukar:
  • Datuk Seri Mohd Radzi Sheikh Ahmad - Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri
  • Datuk Mustapa Mohamed - Menteri Pengajian Tinggi
  • Datuk Seri Azmi Khalid - Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar
Undur:
  • Datuk Seri Abdul Kadir Sheikh Fadzir - Menteri Penerangan
  • Datuk Seri Adenan Satem - Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar
FAKTA NOMBOR:
4 - Setiausaha Parlimen dinaikkan pangkat timbalan menteri
9 - Timbalan menteri bertukar portfolio

Petikan: Berita Harian 15 Februari 2006

0 Comments:

Post a Comment

<< Home