Friday, February 10, 2006

Talkin Untuk "Sarawak Tribune"

Penerbit tutup terus Sarawak Tribune
Oleh Kadir Dikoh, Matzidi Dris, Hardi Effendi Yaacob dan Shamshul Azree Samshir

KUCHING: The Sarawak Press Sdn Bhd penerbit Sarawak Tribune yang mencetuskan kontroversi kerana menyiarkan karikatur menghina Nabi Muhammad SAW, akan menutup terus operasi akhbar itu serentak dengan penggantungan permitnya, berkuat kuasa serta merta.

Penasihat Editorialnya, Senator Datuk Idris Buang, berkata keputusan itu dicapai sebulat suara dalam mesyuarat lembaga pengarah syarikat berkenaan di Sibu, pagi semalam.

"Ini kesilapan yang mengecewakan. Kami amat malu dengan kesilapan yang dilakukan ke atas rakyat Malaysia berhubung penyiaran karikatur ini. Kami juga memohon maaf kepada semua rakyat Malaysia atas kesilapan ini.

"Justeru, atas rasa tanggungjawab, tidak akan ada lagi Sarawak Tribune selepas ini," katanya pada sidang media di ibu pejabat kumpulan akhbar berkenaan di sini, malam tadi.

Sepanjang sidang media itu, pengurusan Sarawak Press menempatkan kakitangan keselamatan sebagai langkah berjaga-jaga.

Turut hadir, Pengarah Eksekutifnya, Polit Hamzah.

Sejurus selepas sidang media itu berakhir, Polit menerima surat arahan penggantungan permit penerbitan akhbar berkenaan yang disampaikan Penolong Pegawai Penerbitan (Bahagian Kawalan Penerbitan dan Teks al-Quran) Kementerian Keselamatan Dalam Negeri Cawangan Sarawak, Yusniza Sapiee.

Penggantungan permit akhbar itu sehingga suatu tarikh yang akan ditetapkan, diumumkan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dalam kenyataan di Putrajaya, petang semalam.

Perdana Menteri turut mengumumkan larangan mutlak terhadap semua bentuk pencetakan, pengimportan, penghasilan, pengeluaran, pengelilingan, pengedaran dan pemilikan hasil terbitan yang boleh memudaratkan ketenteraman awam, keselamatan atau yang mungkin menggemparkan fikiran orang ramai dan menggugat kepentingan negara, berkuat kuasa semalam.

Larangan itu, yang dinamakan Perintah Mesin Cetak dan Penerbitan (Kawalan Hasil Penerbitan Tak Diingini) 2006, dibuat mengikut subseksyen 7(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Akta 301).

Keputusan itu dibuat sehari selepas mesyuarat Kabinet membincangkan tindakan akhbar tertua di Sarawak itu menyiarkan semula karikatur menghina Nabi Muhammad SAW yang pada asalnya disiarkan beberapa akhbar di Eropah hingga mencetuskan kemarahan umat Islam seluruh dunia.

Artikel bertajut Cartoon not much impact here yang memuatkan karikatur menghina Rasulullah, disiarkan akhbar itu Sabtu lalu.

Abdullah yang juga Menteri Keselamatan Dalam Negeri berkata, tindakan menggantung permit Sarawak Press dibuat mengikut kuasa di bawah subseksyen 6(2) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.

Berikutan penyiaran artikel ini, Sarawak Press melakukan kesalahan dan melanggar perenggan 6 syarat-syarat permit yang dikeluarkan di bawah subseksyen 6(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, katanya.

Idris berkata, pihaknya akur dengan keputusan kerajaan dan Perdana Menteri.

Ditanya sama ada Sarawak Tribune akan digantikan dengan akhbar baru, Idris enggan mengulas untuk mengelak sebarang spekulasi.

"Kami akan terus menggantung penerbitan akhbar ini walaupun selepas kerajaan menarik balik arahan itu. Sebab itulah saya katakan tadi, tidak akan ada lagi Sarawak Tribune selepas ini," katanya.

Beliau bagaimanapun berkata, tindakan itu hanya membabitkan jabatan pengarang Sarawak Tribune, manakala operasi akhbar lain terbitan Kumpulan Sarawak Press, termasuk Utusan Sarawak akan berjalan seperti biasa.

"Pihak pengurusan akan menjelaskan kedudukan syarikat kepada kakitangan terbabit. Ia akan dikendalikan secara profesional dan soal kebajikan kakitangan tidak akan diabaikan," katanya.

Mengenai kedudukan Pengarang Kumpulan Sarawak Tribune, Toman Mamora, yang sebelum ini didesak banyak pihak supaya meletak jawatan, beliau berkata:

Biarlah kita selesaikan dulu hal penggantungan Sarawak Tribune. Hal Toman kita bincang kemudian."

Idris juga berkata, pertemuannya dengan Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud semalam, tidak membincangkan isu Sarawak Tribune.

Petikan: Berita Harian 10 Februari 2006

0 Comments:

Post a Comment

<< Home